KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan Arul Selvaraj tetap bangga dengan persembahan anak buahnya walaupun kecundang 0-3 di tangan Jepun pada aksi persahabatan tiga penjuru di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Walaupun mengharungi aksi di bulan Ramadan, Arul kagum dengan sikap barisan pemain yang menunaikan permintaannya dengan menampilkan aksi bertenaga serta mempamerkan usaha tinggi untuk mencabar Jepun pada aksi tersebut.
"Satu perkara saya tekankan sepanjang latihan dua hari sebelum ini adalah konsep bertahan...mereka banyak buat dengan betul tetapi mereka harus menguatkan lagi aspek corak bertahan satu lawan satu selepas ini,” katanya dalam rakaman audio menerusi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dikongsikan kepada media pada Ahad.
Arul pada masa sama berharap beberapa pemain yang mengalami kecederaan pada aksi malam tadi dapat pulih sepenuhnya menjelang pertembungan seterusnya menentang Great Britain, esok.
Pada perlawanan diadakan di bawah konsep gelembung sukan, juara Sukan Asia 2018 itu memperoleh gol menerusi pukulan sudut penalti Hirotaka Zendana pada minit ke-19.
Pada babak kedua, pelawat yang beraksi pada perlawanan pertama mereka selepas 18 bulan, menyumbat dua lagi gol padang melalui Kota Watanabe dan Ryosei Kato, masing-masing pada minit ke-50 dan ke-55.
Aksi tersebut juga merupakan medan pertama Arul setelah mengambil alih tugas daripada jurulatih berpengalaman dari Belanda Roelant Oltmans, yang memutuskan untuk meninggalkan KHM pada Ogos lalu. - Bernama