Paparan harga 'Price Catcher' tidak gambarkan situasi sebenar

Iklan
Alexander Nanta Linggi

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan isu tular berkaitan harga ikan, ayam dan daging yang dipaparkan di aplikasi mudah alih, 'Price Catcher' mahal di sekitar Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, paparan harga tersebut didapati kurang tepat serta tidak menggambarkan situasi sebenar kerana maklumat itu tidak menerangkan harga di semua tempat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harga tersebut hanya membabitkan premis-premis sekitar daerah ‘up-market’ Bukit Bintang sahaja.

"Semakan mendapati terdapat premis lain di kawasan berdekatan yang menjual tiga barang berkenaan pada harga lebih murah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, harga tiga barangan yang ditularkan tersebut ialah ikan kembung sekilogram sehingga RM24, ayam bersih super mencecah RM12 sekilogram dan daging lembu tempatan mencecah RM40 sekilogram.

Namun, Alexander berkata, berdasarkan semakan pada 17 April mendapati ikan kembung menunjukkan harga yang lebih rendah contohnya di Pasar Air Panas (RM18); The Store, Taman Melati dan ST Rosyam Mart (RM17.90) dan terdapat juga harga promosi yang ditawarkan sehingga RM 8.90.

Iklan

Selain itu, menurutnya, ayam super ada dijual pada harga kurang daripada RM10 sekilogram contohnya di Cold Storage, KLCC (RM8.99); Hero Market, Berjaya Time Square (RM9.19); dan AEON(AU2) di Setiawangsa (RM8.30), manakala daging lembu tempatan di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada harga RM35.

Menurut beliau, paparan harga di aplikasi Price Catcher' disusun mengikut premis dan lokasi serta harga dari terendah kepada tertinggi bagi tujuan memudahkan pengguna untuk membandingkan harga.

"Adalah kurang tepat untuk membuat rumusan harga hanya berdasarkan satu premis tertentu sahaja. Aplikasi 'Price Catcher' memberikan opsyen kepada pengguna untuk memilih dan seterusnya menjadi pengguna bermaklumat, peka dan bijak memilih,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, KPDNHEP sentiasa memandang serius terhadap isu kenaikan harga barangan yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat di negara ini.

Tambah beliau, pelbagai usaha berterusan sejak Januari 2021 termasuk melakukan sesi libat urus bersama kementerian dan agensi lain yang terlibat serta pemain industri bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan utama.

"Kerajaan percaya kepada ekonomi terbuka dan pasaran di Malaysia telah matang dalam menentukan harga barangan yang munasabah berdasarkan rantaian bekalan dan permintaan. Naik turun harga adalah lumrah dalam ekonomi terbuka.

"Tetapi KPDNHEP sentiasa sensitif dan mengikuti setiap perkembangan berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan yang dilakukan oleh 2,266 pegawai penguat kuasa dan lebih 1,000 pegawai pemantau harga setiap hari,” katanya.

Susulan beberapa kes kenaikan harga ayam yang dikesan baru-baru ini, beliau berkata, KPDNHEP telah melaksanakan Ops Catut 8.0 (Ayam) yang bermula pada 15 April dan telah mengeluarkan 24 notis kepada pemborong serta 16 notis kepada penternak yang disyaki mencatut.

"Hasil analisa awal mendapati bahawa harga makanan ternakan yang terdiri dari soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari Argentina dan Brazil telah merekodkan kenaikan.

"Ini telah menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dan peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

"KPDNHEP menerima 15 aduan berkaitan harga ayam, daging (satu) ikan (15) dan sayur (dua) di seluruh negara sejak Ramadan. Manakala tiada aduan diterima berkaitan kekurangan bekalan ke atas kesemua barangan di atas,” katanya.

Selain itu, katanya, KPDNHEP juga menjalankan Ops Pantau bermula 13 April dengan lokasi tumpuan kepada bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan kedai runcit.

"Sehingga 16 April, sejumlah 5,768 premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 27 kes telah direkodkan atas pelbagai kesalahan," katanya.