PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menafikan skuad kendaliannya itu tidak memberikan fokus pada aksi separuh akhir Piala FA hingga mengakibatkan kekalahan 0-1 kepada Chelsea pada awal pagi Ahad.
Malah katanya, kekalahan The Citizens dilihat berpunca akibat kelalaian pemain dan menyebabkan The Blues mengambil kesempatan berkenaan bagi menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Menurut Guardiola, beliau tahu pemainnya telah mempamerkan aksi bersungguh-sungguh di sepanjang perlawanan bagi merealisasikan hasrat menjulang Piala FA musim ini, salah satu piala daripada ‘empat piala’ yang menjadi sasaran, selain Piala Liga, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-juara.
"Apa lagi yang boleh saya katakan? Kami hanya ada dua setengah hari untuk proses pemulihan, kemudian beraksi di gelanggang lawan dan kami berada dalam kereta api selama tiga jam selain berhenti selama sejam.
"Oleh itu, jangan sesekali mengatakan kami tidak memberikan perhatian kepada pasukan kerana anda tidak akan sesekali akan mara ke final Piala Liga empat kali berturut-turut.
"Kita memburu empat piala musim ini, jadi, kita buat penggiliran pemain kerana semua pemain berhak untuk diturunkan dan setiap pemain yang diturunkan pastinya memberikan aksi terbaik,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, jaringan bintang Chelsea, Hakim Ziyech pada minit ke-55 sudah cukup untuk meleburkan impian City yang dalam perancangan untuk merangkul empat piala musim ini melibatkan Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala Liga, Piala FA dan Liga Juara-juara.
Sementara itu Guardiola berkata, The Citizens kini mahu memberikan fokus kepada baki tiga piala bermula dengan aksi final Piala Liga berdepan Tottenham Hotspur pada 25 April diikuti aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara berdepan Paris Saint-Germain (PSG) di Parc des Princes (28 April, timbal balik 4 Mei) selain meneruskan cengkaman di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Kami menghormati Piala FA ini dan kedatangan kami kali ini adalah untuk memenanginya, namun gagal.
"Apa pun, kami menerima kekalahan ini kerana bila anda tewas pemilihan pemain adalah salah; bila menang, saya adalah genius.
"Sebenarnya, saya juga langsung tidak menyesal memilih tugas ini kerana saya sentiasa percayakan mereka (pemain) kerana jika saya tidak percayakan mereka, mereka pasti tidak akan beraksi,” katanya.