IPOH - Kehadiran empat badut di Bazar Ramadan Taman Jati di sini, bukan sekadar untuk menghiburkan pengunjung yang datang membeli juadah tetapi juga bertujuan mengingatkan mereka agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, termasuk penjarakan fizikal.
Inisiatif itu diambil oleh Muslim Clown Malaysia (MCM) Perak berikutan penutupan beberapa bazar Ramadan ekoran kegagalan mematuhi SOP.
Iklan
Iklan
"Kami tidak mahu perkara itu terjadi di sini,” kata wakil mereka, Nazirah Abd Rahman kepada pemberita pada Ahad.
Menurutnya, misi utama mereka ialah memastikan semua pengunjung mematuhi SOP agar tidak wujud kluster baharu.
Nazirah yang dikenali sebagai Mama Pinky berkata, kempen tersebut akan diteruskan ke bazar-bazar lain di negeri ini.
Ditanya mengenai aktiviti MCM Perak sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Nazirah, 43, berkata, mereka masih menerima jemputan untuk melakukan persembahan dalam kelompok kecil dan majlis tertutup. - Bernama