KUALA PILAH - Hanya 110,000 pekebun kecil getah yang menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) setakat ini berbanding jumlah keseluruhan 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini berkemungkinan disebabkan ramai dalam kalangan pekebun tidak menoreh selain ada ladang getah berkenaan diwarisi anak-anak mereka dan tidak mengusahakannya.
Menurutnya, keadaan itu sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada negara dari aspek ekonomi selain pembaziran penggunaan tanah yang terbiar.
"Ia angka yang kecil dan saya pelik ke mana perginya pekebun kecil yang angkanya 500,000 orang, adakah mereka tidak buat tuntutan.
"Mungkin juga ramai tidak menoreh sebab harga getah rendah, kalau tidak menoreh itu satu kerugian bagi negara, kebun ada tapi tidak menoreh, hasil tidak keluar, rugi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 100 penerima dalam kalangan pekebun kecil di sini pada Ahad.
Justeru katanya, Lembaga Getah Malaysia diminta untuk terus membuat proses pemutihan bagi mengenal pasti angka sebenar pekebun kecil getah yang masih aktif untuk dibantu selain menyelesaikan permasalahan ketidakterlibatan mereka sedangkan mereka mempunyai Kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).
Beliau berkata, kementerian juga telah memperkenalkan aplikasi Lembaga Getah Malaysia (RRIM) Niaga bagi memudahkan pekebun sekiranya mereka mengalami kesukaran untuk mengisi borang secara manual bagi menuntut IPG itu.
Jelasnya, bermula 1 Januari lalu, kementerian telah mewajibkan pembeli getah berlesen untuk menggunakan aplikasi RRIMniaga dan mereka perlu meletakkan nama penjual yang mempunyai kad PAT-G menerusi sistem itu.
"Semua maklumat termasuk urusan jual beli dilakukan secara dalam talian, melalui maklumat berkenaan, pihak kami akan menyalurkan terus IPG kepada pekebun kecil tanpa mereka mengisi borang,” katanya.