KBS, MSN tak pernah abai kebajikan bekas atlet para

Iklan
Reezal Merican berbual dengan Mariappan dalam Majlis Pelancaran Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 di MSN, Bukit Jalil pada 14 April lalu.
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) tidak pernah mengabaikan kebajikan dua bekas atlet para negara yang mendakwa tidak menerima bantuan secukupnya daripada kerajaan baru-baru ini.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, kedua-dua bekas atlet para itu, P Mariappan (powerlifting) dan Faridul Masri (olahraga) yang kini menetap di ibu kota berkemungkinan berdepan kos sara hidup tinggi sehingga merasakan bantuan diberikan kerajaan termasuk oleh pihaknya tidak mencukupi.

"Kami agak terkilan kerana Yakeb dan MSN berusaha membantu Mariappan menikmati Skim Imbuhan Tetap Olimpik atau Paralimpik sebanyak RM2,000 sebulan. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersungguh-sungguh mahu mendapatkan sebuah rumah selepas berjumpanya pada satu majlis berbuka puasa 14 April lepas.

"Faridul pula ditawarkan kerja bersama MSN baru-baru ini dan diharapkan beliau menerima tawaran tersebut,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Noorul Ariffin berkata demikian selepas menghadiri majlis sumbangan kepada 15 bekas atlet negara dianjurkan Sahabat Infaq Malaysia dan Heart of Petroleum Economics Social Club (HOPE) di sebuah restoran di Bangi pada Ahad.

Rintihan hidup Mariappan dipaparkan dalam video terbitan sebuah media berpangkalan di New York, Amerika Syarikat yang disiarkan di YouTube pada 7 April lepas manakala sebuah portal tempatan menyiarkan kisah hidup Faridul pada Khamis lepas (15 April).

Mariappan, 63, mendakwa kerajaan tidak pernah membantu beliau selepas persaraannya manakala Faridul, 40, tidak memperoleh pendapatan tetap, yang sebelum ini menikmati elaun insentif kejayaan RM2,000, selepas digugurkan oleh MSN ekoran faktor usia.

Mariappan merupakan atlet para pertama negara memenangi pingat di Sukan Paralimpik menerusi kutipan pingat gangsa pada edisi 1988 di Seoul, Korea Selatan, manakala Faridul pernah merangkul berpuluh pingat termasuk emas di Sukan Para ASEAN dan Sukan Para Asia.

Sementara itu, Noorul Ariffin menyifatkan pemergian bekas jaguh sukan menembak Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang juga penaung Sahabat Infaq Malaysia dan bekas ahli lembaga Yakeb, satu kehilangan besar buat sukan negara kerana Allahyarham banyak memberi sumbangan kepada bekas atlet bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang terjejas adalah terjamin.

Anak sulung Allahyarham, Nik Nor Baizura Sabiamad, 39, ketika ditemui pemberita pada majlis itu berkata, arwah bapanya sentiasa berpesan kepada mereka adik-beradik untuk bersikap pemurah kerana tabiat berkenaan bukan satu perkara yang menjadi kerugian buat mereka sekeluarga.

Bagi sahabat baik Allahyarham Sabiamad yang juga bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, beliau sangat mengagumi sifat merendah diri arwah yang tidak menggembar-gemburkan kerja amal dilakukan serta menghargai sikap arwah yang setia dan tidak pernah memburukkan orang lain.

Sabiamad yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 10 April lepas pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat. Allahyarham memulakan karier sebagai penembak kebangsaan pada 1981 sebelum bersara pada awal 1990-an. - Bernama