SEMENYIH - Penerimaan hangat pemimpin BN dalam kalangan penyokong Pas di sini, disifatkan sebagai bukti jelas bahawa wujudnya kerjasama antara Pas-BN.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Pas tidak menyokong BN pada PRK DUN Semenyih atas 'kehendak' Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang jelas tidak benar.
"Bagi saya cukuplah bagi mereka (Dr Mahathir) melagakan pemimpin kita, lihat akar umbi jentera UMNO-Pas di sini, saya jelas melihat penyatuan," katanya dalam sidang media bersama Ketua Pas Cawangan Kantan Permai Imam Nadzri di sini, hari ini.
Katanya, kenyataan Dr Mahathir itu dilihat hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat ketika ini, yang semakin marah dengan kerajaan PH.
"Lihat bagaimana sembilan bulan PH memerintah apa yang mereka lakukan cukup-cukuplah pecah belahkan pembangkang kerana harga sawit rendah, getah rudum, minyak dan harga barang naik.
"Tunaikan janji , jalankan tugas kepada rakyat," katanya yang jelas terharu dengan sambutan penyokong Pas terhadapnya, di sini.
Sementara itu, Ketua Pas Cawangan Kantan Permai, Imam Nadzri ketika menyentuh mengenai perkara sama berkata, dakwaan itu disifatkannya sebagai tidak benar.
"Tuan-tuan lihat kenyataan keluar daripada Presiden Pas (Hadi) atau Presiden Bersatu (Dr Mahathir)
itulah jawapannya kalau dari Bersatu agendalah, kita kena dengar sendiri daripada Tuan Guru sendiri untuk jawab perkara itu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak sokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih: Mahathir
Dr Mahathir Mohamad hari ini, sekali lagi mengulangi pengakuan Pas bahawa parti Islam itu tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih.
Menurut Dr Mahathir, pendirian itu dinyatakan Pas berikutan UMNO bukan melawan DAP dalam PRK Semenyih, sebaliknya berdepan Bersatu.
Katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat pengakuan itu dalam pertemuan di pejabatnya, kelmarin.
Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, Pas tidak menyebut akan menyokong Bersatu dan PH.