SHAH ALAM - Majlis Ayah 2.0 menampilkan 30 lelaki atau ayah pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman dengan suluhan 30 ayat daripada surah al-Mulk dalam mengubah kerangka fikir dan karakter sebagai ketua keluarga di sepanjang Ramadan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, perkongsian para ayah melalui perbincangan di studio menjadi hala tuju untuk memahami isu apa yang dialami oleh golongan ketua keluarga.
"Kebiasaan golongan ayah kurang bercakap atau meluahkan perasaan mereka. Diharapkan Majlis Ayah menjadi platform mereka untuk mendapatkan kumpulan sokongan. Kita berharap al-Quran dan hadis menjadi solusi bagi isu tersebut melalui tadabbur bil Quran dan tadabbur bil hadis.
"Perjalanan WUIF sejak 9 tahun lalu, golongan wanita atau ibu lebih mendahului dalam menyertai aktiviti Rumah Ngaji dan #QuranHour. Kita mengangkat ayah sebagai pemimpin masuk syurga sekeluarga sebagai agenda utama melalui kempen #savingfamilies ke arah MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.
"Tahun ini, WUIF membawa misi Better Me atau Ahsanul Amala daripada ayat 2 dalam surah al-Mulk. Dengan menghayati surah tersebut dan mendekati al-Quran, diharapkan si ayah dapat membina diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah lebih baik,” katanya di sini.
Menurutnya, Majlis Ayah 2.0 didahulukan dengan sesi pengenalan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail sebagai moderator, diikuti dengan klip video perkongsian ayah, bacaan surah al-Mulk dibimbing oleh qari dan perbincangan tajuk oleh agamawan.
"Penetapan kisah dan tajuk berpandukan 30 ayat dalam surah al-Mulk adalah hasil perbincangan pasukan Penyelidik dan Pembangunan (R&D) dan Produksi WUIF. Mereka terdiri daripada golongan muda yang tamat pengajian, namun penuh semangat dalam menghidangkan program yang berimpak kepada masyarakat,” ujarnya.
Majlis Ayah dianjurkan bersama WUIF, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Sinar Harian dengan sokongan TV AlHijrah dan Astro Oasis.
Program tersebut bersiaran dari studio MSSAAS di platform Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sinar Harian dan QuranHour setiap hari, jam 6.45 pagi hingga 7.45 pagi sejak 1 Ramadan 1442H bersamaan 13 April lalu.
Orang ramai juga boleh menonton Majlis Ayah yang disiarkan di Astro Oasis pada 10 hingga 11 malam atau di TV AlHijrah pada 3.30 pagi hingga 4.30 pagi setiap hari.
Tahun ini, penghayatan surah al-Mulk turut diperkukuhkan dalam program #QuranHour termasuk Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST), World Kids #QuranHour, World Quran Convention (WQC), World #QuranHour (WQH) dan Malaysia #QuranHour (MQH).