SHAH ALAM - Lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar menghantar surat bantahan kepada beberapa pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) oleh kerajaan Selangor.
Surat bantahan itu dipanjangkan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, surat bantahan itu adalah bagi meminta campur tangan pihak terlibat berhubung isu berkenaan yang sehingga kini masih belum menemui penyelesaian.
"Sampai sekarang hutan simpan itu masih belum digazetkan dan akan dinyahwartakan selepas ini.
"Disebabkan itulah, kami di pihak NGO membantah dan meminta campur tangan daripada kepimpinan tertinggi PH," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, cadangan pemansuhan hutan simpan itu dilakukan susulan 40 peratus kawasan seluas 931.1 hektar itu telah menjadi hutan rosot yang tiada lagi elemen hutan dara disebabkan kebakaran dan pencerobohan.
Isu tersebut turut mendapat reaksi Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta kerajaan negeri Selangor terus mengekalkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara bagi memastikan kelestarian alam di negeri itu terus terpelihara.
Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, hutan itu perlu diperlihara memandangkan ia merupakan khazanah alam di samping menjadi lokasi penduduk orang asli menjalankan aktiviti di sana.
"Ini sahaja hutan simpan yang tinggal di kawasan itu dan tak cukup lagikah pembangunan dijalankan kerajaan negeri sebelum ini.
"Jika kerajaan negeri tidak boleh uruskan hutan berkenaan, kami di pihak NGO mampu melaksanakannya demi memelihara khazanah ini," katanya.
Tambahnya, tindakan penyahwartaan itu tidak memberi sebarang manfaat kepada penduduk setempat malah hanya mengundang kerugian berikutan hasil khazanah alam sekitar dimusnahkan demi keuntungan pihak tertentu.