PASIR PUTEH - Ibu tunggal, Napisah Mat Deris, 52, bersama enam anaknya terpaksa menyambut Ramadan dalam suasana penuh hiba apabila tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dalam kejadian di Kampung Sri Aman Dalam di sini pada Isnin lalu.
Kejadian sehari sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa itu berlaku pada jam 1.30 petang.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku apabila dua anak orang kelainan upaya (OKU) Napisah iaitu Wan Norhashima Wan Soh, 26, dan Wan Norshahira, 18, berjaya diselamatkan oleh seorang lagi anaknya, Wan Muhammad Firdaus, 20.
Napisah berkata, mereka kini berteduh sementara di sebuah rumah yang disewa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.
"Saya ucapkan terima kasih kepada ADUN Limbongan yang membantu meringankan beban kami. Tanpa bantuan ini, mungkin saya dan anak-anak terpaksa membina pondok untuk berteduh buat sementara waktu memandangkan pendapatan sebagai pembantu kedai tidak menentu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Dalam pada itu, Napisah berkata, sekarang ini dia sedang memikirkan cara untuk membina semula rumah peninggalan suami yang musnah itu.
Napisah mempunyai enam orang anak dan tiga daripadanya adalah OKU.
Sementara itu di MUAR, JOHOR, Muhamad Junid Ajmain, 31, masih terkejut dan buntu selepas menjadi mangsa kebakaran di Batu 18 di sini pada awal pagi Rabu lalu.
"Saya masih terkejut, tak tahu apa perancangan selepas ini. Buat masa sekarang, saya hanya menumpang di rumah jiran memandangkan saya bekerja di sini,” katanya.
Dalam kejadian itu, dia bukan sahaja kehilangan rumah pusaka yang sudah menjangkau 60 tahun, tetapi juga kereta jenis Proton Waja, sebuah motosikal Honda Wave dan sebuah motosikal Suzuki miliknya turut hangus dalam kejadian itu.
"Rasa sedih memang tak tertahan sebab saya hilang segalanya. Hanya motosikal peninggalan ayah yang selamat sebab saya bawa ketika itu,” ujarnya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana ibunya, Waginah Bajuri, 67, berada di Batu Pahat ketika kejadian memandangkan mereka berbuka puasa bersama keluarga abangnya pada hari pertama puasa.
Dalam pada itu, banyak pihak turut tampil membantu, antaranya Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat, wakil rakyat dan orang perseorangan.
Sementara itu, Amin Baitulmal Muar, Muhamad Adzrul Taib ketika dihubungi berkata, pihaknya telah memberikan bantuan segera sebanyak RM3,000 dan bantuan asas kepada keluarga berkenaan.
"Kita telah sampaikan bantuan kepada keluarga berkenaan semalam (Khamis) bersama Penghulu Mukim Air Hitam, Zulkifli Rohsah sebaik sahaja mengetahui kejadian yang menimpa keluarga itu,” katanya.