KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berhubung penambahan pengeluaran Permit Import (AP) bekalan ayam.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pengeluaran AP dilihat mampu menstabilkan harga ayam di pasaran sekali gus menyelesaikan masalah kenaikan harga sumber protein itu pada setiap musim perayaan.
Menurutnya, langkah penyelesaian itu mengambil kira formula penawaran dan permintaan terhadap sesuatu barangan.
"Ada AP akan selesaikan masalah kerana syarikat pemegang AP boleh mengimport ayam dari luar bagi memenuhi permintaan pelanggan. Bila bekalan ayam banyak akan berlaku lambakan dan harga akan jadi murah.
"Ini (pemberian AP) satu cadangan yang baik dan kita akan bincang dengan MAFI kerana AP ayam di bawah bidang kuasa MAFI, bukan KPDNHEP,” katanya selepas meninjau harga dan bekalan barang keperluan harian di pasar Chabang Tiga, di sini pada Isnin.
Tinjauan itu dilakukan selepas menerima rungutan daripada pengguna yang mendakwa harga ayam naik mendadak antara 30 sen hingga 40 sen sejak minggu lalu dengan hari ini bahan mentah itu dijual RM10 sekilogram.
Selain ayam, harga barang mentah lain seperti daging dan sayur juga dilaporkan meningkat.
Rosol berkata, kerajaan mengambil serius isu kenaikan bahan mentah itu dan sehingga kini sebanyak 42 notis sudah dikeluarkan kepada pemborong, penternak dan pengeluar ayam berikutan peningkatan harga ayam.
Sementara itu, mengulas mengenai wujudnya pembabitan kartel dalam industri bekalan ayam hingga harganya dimanipulasi khususnya setiap kali musim perayaan, Rosol berkata, perkara itu akan disiasat bagi menjamin hak pengguna.
Setakat ini katanya, pemborong mendakwa mendapat ayam dengan harga tinggi daripada pembekal manakala pengeluar ayam memberi alasan terpaksa menaikkan harga berikutan peningkatan harga makanan ayam.
"Mereka kata dapat harga ladang tinggi, alasan dari ladang pula kerana harga makanan naik tapi sepatutnya kenaikan hanya sekali bukan berkali kali dalam tempoh seminggu.
"Kita akan dapatkan harga di ladang untuk tengok betul atau tidak ada kaitan dengan kenaikan harga makanan atau pun ia dimanipulasi untuk ambil untung lebih. Kita akan lihat supaya pengguna tidak diambil kesempatan,” katanya.