KEBANGKITAN Negeri Sembilan FC ketika melakar kemenangan ke atas Kelantan FC menyuntik semangat skuad Hoben Jang Hoben untuk kekal menerajui Liga Premier musim ini.
Ketua Jurulatih, K Devan menyifatkan prestasi yang ditampilkan anak buahnya dalam beberapa perlawanan semakin matang walaupun terdapat kekurangan di barisan hadapan yang masih perlu penambahbaikan.
Tuan rumah mengatasi Kelantan FC 2-1 dalam aksi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam melalui dua jaringan kapten skuad Rusa, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.
"Jaringan gol cantik Zaquan Adha pada awal permainan memberikan motivasi terbaik untuk pasukan dalam menguasai perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Ahad.
Beliau berkata kemenangan itu juga menebus kekecewaan pasukan yang tersentak dengan kekalahan pertama menentang Kelantan United 2-3 di laman sendiri, minggu lalu.
Devan menyifatkan kebangkitkan pasukannya malam tadi memberikan motivasi terbaik untuk turun berdepan seterunya, Sarawak United pada 24 April ini.
Katanya, Sarawak United merupakan pencabar utama dan pasukannya harus bermain habis-habisan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai pendahulu liga.
Setakat lapan perlawanan musim ini, Negeri Sembilan mendahului kedudukan Liga Premier dengan mengutip 17 mata iaitu kelebihan hanya satu mata berbanding Sarawak United selepas mengharungi tujuh perlawanan.