IPOH - Sebuah keluarga hidup dalam ketakutan selepas kediaman mereka di Taman Menglembu Impiana Adril di sini pada Ahad, disimbah cat kuning oleh individu tidak dikenali menyebabkan kerugian dianggarkan RM4,000.
Kejadian berlaku jam 3.30 pagi itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan seorang lelaki memegang beg plastik yang mengandungi cat.
Mangsa, Chow Kah Wei, 32, berkata, dia terkejut apabila dua kereta jenis Perodua Viva dan Axia miliknya mempunyai kesan cat namun, tiada sebarang nota ugutan ditinggalkan seperti kes-kes ah long.
Menurutnya, tiada dalam kalangan ahli keluarga yang terlibat dalam peminjaman wang haram mahupun pergaduhan.
"Kami sendiri tidak tahu apa puncanya. Kemungkinan juga suspek salah sasaran rumah tetapi kejadian ini menyebabkan kami sekeluarga takut dan tidak lena tidur.
"Kami tampil supaya suspek menyedari yang dia tersalah rumah dan diharapkan perkara ini tidak berlaku lagi hingga jiran-jiran rasa terganggu," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat DAP Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Chaw Kam Foon.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan menemukan bungkusan plastik mengandungi cat di hadapan rumah disyaki digunakan suspek.
"Semasa kejadian berlaku tiada saksi yang melihat perbuatan suspek itu.
"Namun, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.