PUTRAJAYA - Malaysia mengalu-alukan komitmen jangka panjang Microsoft Corporation (Microsoft) dalam memperkasakan Ekonomi Digital Inklusif Malaysia.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen tersebut bernilai lebih RM4 bilion bagi tempoh lima tahun.
"Microsoft menubuhkan pusat data serantau yang pertama di negara ini yang akan menguruskan data dari pelbagai negara," katanya dalam ucapan Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia, di sini pada Isnin.
Menurutnya, kesan daripada penubuhan pusat data serantau itu, ia dapat diterjemahkan menjadi RM28.3 sebagai pendapatan yang dihasilkan dalam ekosistem perkhidmatan awam bagi setiap ASD$1 (RM4.2).
"Pelaburan itu juga membuka 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 berkaitan teknologi maklumat," katanya.
Beliau berkata, untuk merealisasikan pusat data serantau, negara memerlukan modal insan berkemahiran dengan sains data.
"Dalam hal ini, saya mengalu-alukan perkongsian awam swasta yang dibentuk oleh Microsoft dan rakan strategik yang ditandatangani pada hari ini," katanya.
Sebagai permulaan, rakan kongsi tersebut merangkumi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Petronas, Celcom dan Grab.
Muhyiddin berkata, sebagai sebahagian Inisiatif Bersama Malaysia, Microsoft berikrar akan meningkat kemahiran sejuta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023.
"Saya harap perkongsian ini, ia dapat diperkukuhkan sekali gus merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat menerusi teknologi seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKE-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030)," katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohame Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa lagi.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Microsoft dengan MAMPU, HRDF, Petronas, Celcom dan Grab.
Sebelum itu Raman berkata, pengumuman inisiatif tersebut merupakan kejayaan besar syarikat berkenaan sepanjang 28 tahun beroperasi di negara ini.
Menurut kajian International Data Corporation (IDC), pelaburan Microsoft itu akan membantu menjana sehingga ASD$4.6 bilion dalam hasil baharu sepanjang empat tahun akan datang dalam ekosistem rakan kerjasama dan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan awam di Malaysia.
Pusat data serantau itu dijangka menyediakan perkhidmatan awam yang diyakini dengan tahap keselamatan data dan privasi bertaraf dunia di samping berupaya menyimpan data dalam negara.
Ia menyediakan capaian kemudahan Microsoft Cloud serba lengkap termasuk Microsoft Azure yang membolehkan sesiapa sahaja mereka cipta dengan tujuan khusus menggunakan perkhidmatan dan keupayaan awam merangkumi perkomputeran, perangkaian, pengkalan data, analitik, AI dan Internet Benda (Internet of Things -IoT).
Turut tersedia, Microsoft 365 untuk berhubung, bekerjasama, bekerja dan belajar dalam jarak yang jauh di dalam talian.
Selain itu, Dynamics 365 dan Power Platform membina dan menguruskan penyelesaian perusahaan kritikal yang boleh diskala dengan aplikasi perniagaan pintar.
Ditanya mengenai lokasi kompleks data tersebut, Raman enggan mengulas lanjut.
"Ia di tengah Kuala Lumpur yang mana lokasinya tidak dapat didedahkan kepada umum atas sebab keselamatan," katanya.