KUALA TERENGGANU – Dianggarkan 258,000 rakyat Terengganu akan menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 di negeri ini yang bermula Isnin hingga Ogos depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara golongan yang disasarkan dalam program fasa 2 ini adalah warga emas, mereka yang mempunyai penyakit atau co-morbid dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Fasa pertama negeri ini bermula 26 Februari melibatkan 24,570 petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota kesihatan, polis dan bomba. Fasa 3 melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas pula akan bermula bulan depan.
"Program imunisasi menyeluruh ini bertujuan memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam komuniti bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya ketika melancarkan PICK Fasa 2 peringkat Terengganu di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu pada Isnin.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Sementara itu, Dr Alias memaklumkan kerajaan menyediakan tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu pada peringkat permulaan PICK Fasa 2 sebelum dibuka di daerah lain pula.
Menurutnya, tiga PPV itu adalah di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Dewan Dato’ Seri Amar Diraja, Kemaman dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu.
"Bermula bulan depan, kerajaan akan menambah bilangan PPV berdasarkan keperluan dan keadaan semasa. Bagi kawasan yang tiada PPV, mereka akan mendapat suntikan di klinik-klinik kesihatan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 14 April lalu seramai 29.7 peratus atau 250,399 rakyat Terengganu sudah berdaftar bersama MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Daripada jumlah itu katanya, empat daerah menunjukkan pendaftaran melebihi 30 peratus dengan Kemaman merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 33.6 peratus atau seramai 44,473 orang.
"Kuala Terengganu pula merekodkan pendaftaran 32.5 peratus (59,713 orang), Marang sebanyak 32 peratus (26,017 orang) dan Kuala Nerus pula 30.8 peratus (33,161 orang),” katanya.