LOTUSS Store (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) yang dahulunya dikenali sebagai Tesco Stores berkolaborasi dengan jenama pakaian Muslimah Naelofar pada musim Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, kerjasama tersebut membuktikan bahawa Lotus’s Malaysia bukan sahaja destinasi untuk membeli-belah barangan runcit tetapi juga untuk pembelian fesyen yang bergaya dan menggembirakan.
"Koleksi tudung Naelofar terdapat dalam dua reka bentuk iaitu Selendang Segera Lana dan Selendang Semi Maia Semi yang dijual pada harga RM59 sehelai yang boleh didapati di 30 cawangan Lotus’s di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, Kenneth berkata, bersempena dengan kempen Lotus’s ‘Raya Mesti Raya’, cawangan pasaranya akan menawarkan beberapa hidangan istimewa sesuai dengan suasana perayaan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.
Katanya, pelanggan berpeluang untuk menikmati makanan raya seperti rendang dan sate dengan daging lembu Brazil yang diimport pada harga RM11.89 setiap pek, Australia Bone-in Lamb Leg (RM27.39 perkilo) dan seekor ayam (RM5.99 sekilo).
Menurutnya, semua produk daging 'Raya Mesti Raya' di Lotus's adalah dijamin halal dengan perakuan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Lotus’s juga akan memberi potongan harga sehingga 35 peratus untuk kebanyakan makanan sejuk dan beku seperti sosej ayam, bebola daging, bebola ikan, daging sapi cincang, dan tempura nugget untuk juadah berbuka puasa yang lebih cepat dan mudah.
"Lotus’s menawarkan tujuh jenis kurma (khenaize, deglet nour, medjool, al-hisham khalas, masafii lulu, masfii rabbie dan masafii emirates), yang diimport dari Emiriah Arab Bersatu, Tunisia dan Palestin,” jelas beliau.
Kempen Lotus’s ‘Raya Mesti Raya’ berlangsung sehingga 2 Jun 2021 di semua 62 cawangan dan saluran dalam talian Lotus’s Malaysia termasuk platform membeli-belah runcitnya di Lazada dan Shopee.
Mengulas lanjut, Kenneth berkata, dengan rantaian bekalan produk yang pintar dan berinovasi, kesemua cawangan Lotus’s Malaysia juga menyediakan keperluan harian seperti daging, ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
Katanya, program kesetiaan Clubcard turut akan memberikan penjimatan tambahan kepada pelanggan, kerana pembelian mereka akan ditukar ke dalam mata terkumpul, yang kemudian ditukar menjadi baucar.
"Baucar kemudian boleh digunakan untuk pembelian di masa hadapan. Memandangkan keadaan semasa, mata Clubcard lebih bermanfaat daripada sebelumnya untuk membantu pelanggan menguruskan kos sara hidup mereka,” ujarnya.