Hanya 25 peratus penduduk Pahang daftar suntikan vaksin

Iklan
Wan Rosdy mengadakan Program Imunisasi Covid-19 (Fasa 2) Peringkat Negeri Pahang di Cafe Wisma Belia, Indera Mahkota, pada Isnin.

KUANTAN - Jumlah rakyat Pahang yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) masih di tahap rendah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara keseluruhan, hanya 25 peratus individu berdaftar menerusi SICP dan 32.8 peratus yang berdaftar menerusi MySejahtera berbanding sasaran1.6 juta orang penduduk di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kita berharap semua pihak memainkan peranan supaya mendaftar dengan SICP dan MySejahtera agar mereka dapat menerima suntikan vaksin.

"Kita bimbang akhir-akhir ini berlaku peningkatan wabak bukan sahaja di Pahang tetapi di seluruh negara. Kalau rakyat cepat berdaftar, suntikan dapat disegerakan sekali gus dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya lawatan ke Program Imunisasi Covid-19 (Fasa 2) Peringkat Negeri Pahang di Cafe Wisma Belia, Indera Mahkota, pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Wan Rosdy berkata, kempen vaksinasi covid-19 perlu diperhebatkan bagi memberi pemahaman lebih efektif kepada rakyat.

Iklan

Tambah beliau, faktor geografi membabitkan jarak jauh,mengambil sikap tunggu dan lihat antara punca pendaftaran vaksin yang masih rendah di Pahang.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menyasarkan 80 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri itu dapat divaksin menjelang Februari tahun depan.

Menurutnya, ini sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik Covid-19

Mengulas lanjut mengenai program Imunisasi fasa kedua ini, Wan Rosdy berkata, suntikan vaksin ini melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang berpenyakit kronik.

Menurutnya, pemberian vaksin bagi dos pertama dijangka selesai sebelum Aidilfitri membabitkan 360,000 penerima.

"Seramai 1,820 orang telah menerima suntikan untuk dos pertama masing-masing sepertimana janji temu diberi menerusi Aplikasi MySejahtera di seluruh Pahang," katanya.