KUALA LUMPUR - Penciptaan kandungan di media sosial yang tidak perlu melalui proses penapisan dan perakuan daripada kerajaan antara punca berlakunya iklan yang tidak bertanggungjawab seperti iklan mempromosikan judi bertemakan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, berlainan dengan pembikin iklan untuk televisyen dan pawagam, iklan perlu melalui proses tapisan oleh Lembaga Penapisan Filem untuk mendapatkan sijil perakuan daripada Finas sebelum iklan boleh disiarkan.
Iklan
Iklan
"Bagi pencipta kandungan di media sosial mereka tidak perlu melalui proses ini dan disebabkan itu mereka mengambil kesempatan untuk keluarkan apa sahaja kandungan tanpa rasa tanggungjawab, itu yang sedang berlaku sekarang.
"Berikutan ini adalah perlu dilihat kembali cadangan untuk kita lesenkan kandungan yang disiarkan melalui media sosial seperti yang dicadangkan oleh Finas pada tahun lepas kerana kebebasan yang diberikan telah disalah guna,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan oleh Bernama TV.
Dalam pada itu, Ahmad Idham berkata, pihak bertanggungjawab perlu memberi pendidikan bukan sahaja kepada pengguna media sosial malah kepada pemain-pemain industri seperti pencipta kandungan dan pelakon-pelakon berkenaan kandungan media sosial.
"Talents (pencipta kandungan, pelakon) itu sendiri perlu ada rasa tanggungjawab, individu yang menyanyikan lagu dalam iklan berkenaan mustahil dia tak sedar apa yang mereka nyanyi.
"Mereka perlu tahu apa projek yang mereka buat kerana di situ juga dia boleh mengekang perkara ini daripada terjadi,” katanya. - Bernama