KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengisytiharkan empat lagi kluster baharu Covid-19 di negeri ini iaitu kluster Sungai Anus di daerah Selangau, kluster Sungai Selitut di Tatau, kluster Sungai Passin di Matu dan kluster Sungai Duan di Mukah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan kesemua kluster itu adalah kluster komuniti yang dikesan di rumah panjang.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu, kluster Sungai Anus dan kluster Selitut masing-masing melibatkan satu rumah panjang, kluster Sungai Passin melibatkan empat buah rumah panjang manakala kluster Sungai Duan melibatkan tujuh rumah panjang.
Pertambahan itu menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negeri itu kini sebanyak 49.
Hari ini Sarawak merekodkan 589 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 24,529 kes manakala jumlah kematian meningkat kepada 140 berikutan tiga kematian baharu dilaporkan pada Isnin. - Bernama