BULAN lalu, Indonesia menerima penyerahan rasmi kapal selam berkuasa diesel elektrik, KRI Alugoro 405 ke dalam armada Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.
Kejayaan pembinaan kapal selam buatan anak tempatan ini meletakkan Indonesia sebagai negara pertama membina, menguji dan mentauliahkan kapal selam di rantau ini.
Semestinya, status ini menjarakkan negara Garuda itu dengan negara jirannya dalam penguasaan industri pertahanan maritim berskala tinggi.
Ini kerana kebolehan untuk membina kapal selam memerlukan tenaga mahir selain penguasaan teknologi kejuruteraan marin tahap atas.
Kejayaan ini juga seolah-olah mengembalikan kegemilangan Indonesia yang pernah menjadi negara kuasa maritim pada era 1960-an apabila memiliki kapal selam terbanyak di rantau Asia Pasifik iaitu 12 buah kelas Whiskey buatan Soviet Union.
Atas sebab itulah juga, Prabowo semasa berucap pada majlis tersebut optimis untuk melihat program pembinaan kapal selam ini akan berjalan seperti dirancang dengan sasaran untuk membina kapal selam berteknologi Indonesia sepenuhnya menjelang lima tahun akan datang.
Memiliki wilayah perairan luas dengan kira-kira 17,000 buah pulau bertaburan, maka pengoperasian lebih banyak kapal selam sebagai aset strategik untuk menjaga kedaulatan perairan Indonesia sangatlah diperlukan.
Pada masa ini, sandaran kekuatan TNI-AL adalah pada tujuh buah frigat, 24 buah korvet, 179 kapal peronda dan 10 kapal penyapu ranjau selain kapal sokongan logistik.
Walaupun KRI Alugoro 405 sepanjang 61.3 meter ini dibina secara usaha sama dengan syarikat Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME) Korea Selatan, peneraju utama pembinaan ini adalah PT PAL Indonesia (Persero) di limbungannya di Ujung, Surabaya dekat Jawa Timur.
Pembangunan PT PAL sendiri adalah menerusi idea hebat Bapa Industri Indonesia yang juga bekas presiden republik itu, Bacharuddin Jusuf Habibie.
PT PAL turut mengintai peluang dalam perolehan kapal sokongan logistik kelas Makasar bagi Tentera Laut Diraja Malaysia setelah berjaya membina untuk Filipina.
KRI Alugoro 405 yang mula dibina dua tahun lalu diserahkan kepada TNI-AL pada Disember lepas setelah selesai menjalani proses ujian di laut.
Semasa proses tersebut, ia telah menjalani tahap ujian kedalaman sehingga 250 meter di perairan Pulau Bali.
Pelaksanaan ujian ini penting bagi menilai bahawa 90 peratus proses pembinaan kapal selam tersebut telah berhasil.
Ia juga melepasi ujian kedalaman sehingga 310 meter di perairan sama iaitu tahap selaman maksimum. Kapal selam Alugoro akan dioperasikan oleh Wilayah Komando Armada II yang bertanggungjawab mengawal perairan di bahagian tengah republik tersebut.
Indonesia pada 2011 memeterai perolehan tiga kapal selam kelas Nagapasa U209 bernilai AS$1.07 bilion dari DSME iaitu KRI Nagapasa 403 dan KRI Ardadedali 404 yang dibina sepenuhnya di Korea Selatan dengan melibatkan kumpulan kejuruteraan dari Indonesia manakala kapal ketiga dibina dalam negara.
Ia melengkapi dua kapal selam Type 209/1300 buatan Jerman iaitu KRI Cakra 401 dan KRI Nanggala 402 yang telah dioperasikan TNI-AL 30 tahun lalu.
Dengan lima buah kapal selam, Indonesia berada pada kedudukan kedua di belakang Vietnam yang mengoperasikan enam kapal selam kelas Kilo diikuti Singapura (empat) dan Malaysia (dua) iaitu negara-negara eksklusif pemilik kapal selam di rantau ini.
Myanmar baru menyertai tahun lalu apabila menerima sebuah kapal selam terpakai kelas Kilo hibah daripada India.
PT PAL turut mengintai peluang dalam perolehan kapal sokongan logistik kelas Makasar bagi Tentera Laut Diraja Malaysia setelah berjaya membina untuk Filipina.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu