SHAH ALAM - Guru-guru sentiasa bersedia melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekiranya berlaku gelombang keempat kes Covid-19.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, aspek kesihatan dan keselamatan perlu dilihat terlebih dahulu bagi memastikan peningkatan kluster dalam sektor pendidikan dapat dikurangkan.
"Sekarang, kita perlu lihat kepada aspek keselamatan dan kesihatan dulu, itu yang kita perlu pentingkan manakala pendidikan nombor dua.
"Tidak ada kepentingan kalau sekolah dibuka, tetapi guru berada dalam kerisauan dan terdedah dengan risiko sehingga menjejas kerja pengajaran mereka.
"Sehinggakan kadang-kadang kita pun tidak tahu murid-murid dari mana, siapa kontak rapat dia, itu yang menjadi keutamaan, barulah kita fikir tentang pendidikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas mengenai kelemahan pelaksanaan PdPR, Aminuddin mengakui masalah peranti dan capaian internet yang dialami pelajar pada awal pelaksanaan PdPR menjadi kebimbangan para guru.
Beliau bagaimanapun berkata, kekurangan itu dapat diatasi apabila kerajaan dijangka mengumumkan pemberian telefon pintar dan capaian internet kepada 2.7 juta keluarga berpendapatan rendah (B40) pada Mei ini.
Jelasnya, pemberian bantuan tersebut adalah hasil kerjasama Yayasan YTL dan NUTP bagi membolehkan pelajar belajar dari rumah.
"Saya juga melihat sudah ada usaha kerajaan dalam memastikan pelajar khususnya pelajar B40 ini tidak ketinggalan dalam pelajaran.
"Usaha itu dari masa ke masa akan membolehkan peningkatan pemilikan peranti dan capaian internet yang lebih baik berbanding tahun lepas,” ujarnya.
Untuk rekod, pada Januari lalu, Malaysia telah melaksanakan PdPR di seluruh negara dalam membendung penularan Covid-19 sekali gus tidak mahu pelajar tercicir dalam sukatan pelajaran mereka.