KUALA LUMPUR - Seramai tiga individu disyaki terlibat dalam pembikinan dua lagi video promosi judi dalam talian ditahan di sekitar ibu negara pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 42 tahun itu akan direman pada Selasa bagi membantu siasatan.
"Kita mengesan dua lagi video promosi judi dalam talian yang berdurasi 48 saat dan 30 saat.
"Setakat ini sebanyak dua laporan polis telah diterima berhubung kes itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Mohamad Zainal, pihaknya tidak akan berkompromi ke atas individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian dan pembikinan video tersebut.
"Tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi video tersebut.
"Perbuatan sedemikian bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi juga boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam," katanya.
Mohamad Zainal memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMAS KINI] Lagi iklan raya promosi judi disiasat
ARTIKEL BERKAITAN: Dalang utama judi 'online' diberkas