KLANG - Seorang pemandu bas maut akibat dihempap bas rosak yang sedang dibaikinya dalam kejadian di sebuah bengkel di Jalan Pendamar, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan MERS 999 pada jam 9 malam.
Iklan
Iklan
"Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa seorang lelaki berasal dari Sabah telah meninggal dunia akibat dihempap sebuah bas persiaran yang dibaikinya.
"Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa yang juga pemandu bas itu sedang membaiki sistem hidraulik bas sebelum alat pengangkat beban (jack) yang digunakan telah turun dengan sendirinya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa berusia 33 tahun itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.