KUANTAN - Impian seorang peniaga untuk memiliki kereta mewah hancur apabila diperdaya dalam urusan jual beli kereta tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM22,166, pada 9 Februari lalu.
Mangsa berusia 25 tahun itu berminat untuk membeli kereta jenis Toyota Alphard selepas melihat satu iklan pinjaman kenderaan di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa telah menghubungi ejen penjualan kenderaan itu menerusi aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk membeli kenderaan terbabit pada harga RM22,500.
"Mangsa juga bersetuju untuk membuat bayaran bulanan sebanyak RM431.30 dalam tempoh lima tahun.
"Mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM22,166 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek menerusi empat transaksi secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, selepas membuat pembayaran, mangsa telah menghubungi suspek bagi urusan pembelian itu, namun pelbagai alasan telah diberikan.
Jelasnya, mangsa mula mengesyaki ada unsur-unsur penipuan kerana sudah mengalami kerugian sebanyak RM22,166 sedangkan kenderaan yang dibeli masih belum diterima.
Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kerana suspek masih meminta wang daripadanya.
"Laporan polis dibuat kerana bimbang maklumat peribadi mangsa dan syarikatnya disalah guna," ujarnya.
Sementara itu, Mohd Wazir berkata, seorang lagi kontraktor juga kerugian RM10,500 apabila turut menjadi mangsa dalam penjualan kenderaan tidak wujud, Ahad lalu.
Katanya, mangsa berusia 55 tahun itu berminat untuk membeli jentera pengorek-kaut (backhoe) selepas melihat iklan di Facebook.
"Difahamkan mangsa telah menghubungi seorang lelaki yang dikenali sebagai Nor Hamesam Nor Azri dan bersetuju untuk menjual jentera itu pada harga RM40,000.
"Mangsa memasukkan deposit sebanyak RM3,000 ke dalam akaun yang diberikan dan meminta suspek supaya mengirimkan alamat rumah bagi melihat jentera terbabit," katanya.
Beliau berkata, pada Rabu lalu, suspek telah menghantar pesanan supaya mangsa membayar duit pembelian jentera tersebut sebanyak RM5,000.
"Mangsa telah membuat pembayaran itu, namun pada keesokkan harinya, suspek meminta wang sebanyak RM2,500 sebagai upah penghantaran dan menjangkakan jentera terbabit akan sampai pada Sabtu.
"Namun, sehingga kini jentera itu tidak diterima dan suspek gagal dihubungi. Susulan itu mangsa tampil membuat laporan di IPD Kuantan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.