PENGENDALI Southampton Ralph Hasenhuttl percaya, pemecatan Jose Mourinho bakal menyukarkan lagi persiapan serta perjalanan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
Katanya, pemecatan Mourinho akan mengubah banyak perkara terutamanya melibatkan perancangan yang telah diatur olehnya buat Spurs musim ini.
Malah menurut Hasenhuttl, pemecatan Mourinho turut menjejaskan persiapan The Lilywhites menjelang aksi final Piala Liga berdepan Manchester City, 25 April ini.
"Kami (Southampton), akan menjadi pasukan pertama yang berdepan mereka (Spurs) tanpa kehadiran Mourinho pada awal pagi Khamis ini.
"Oleh itu, kami juga tidak ada masa yang lama untuk melakukan persiapan bagi mengharungi perlawanan itu, namun di pihak mereka pasti lebih sukar kerana mereka bakal beraksi di pentas final Piala Liga hujung minggu ini.
"Apa yang perlu kami lakukan ketika ini adalah untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pasukan kami sendiri dalam usaha melakarkan kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, Tottenham kini berada pada kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 50 mata dan turut terlibat dalam perebutan untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas EPL pada penghujung saingan kelak.
Sementara itu Hasenhuttl berkata, pihaknya hanya memiliki beberapa jam bagi mempersiapkan skuad The Saints menjelang pertemuan dengan Spurs pada awal pagi Khamis.
"Kami hanya ada beberapa jam untuk memberikan fokus kepada perlawanan ini dengan menyediakan pemain yang cergas untuk beraksi.
"Walaupun bukan satu tugas mudah, tetapi cabaran kali ini adalah untuk kami berkunjung ke Tottenham dan membawa pulang mata,” katanya.