JOHOR BAHRU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor akan menyalurkan bantuan RM500 sebulan kepada pelawak dan pelakon veteran filem Melayu, Abdul Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol bermula Mei ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, bantuan bulanan itu bagi meringankan beban bintang lagenda tersebut yang kini tinggal bersama anak lelakinya di Jalan Rajawali, Larkin Jaya, di sini.
"Kita berikan sumbangan kotak makanan kepada Mat Sentol selain akan menyalurkan bantuan bulanan RM500 setiap bulan selepas ini. Ini juga sebagai sumbangan dan jasa beliau dalam industri hiburan terutama perfileman.
"Boleh dilihat Mat Sentol masih lagi sihat. Kita sama-sama doakan legenda hebat ini akan terus diberikan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan dan menyampaikan bantuan tersebut di kediamannya, pada Selasa.
Sebelum ini tular di media sosial mendakwa seniman di bawah Cathay-Keris Film Productions yang popular pada era 50-an hingga 70-an itu uzur dan terlantar sakit di rumahnya serta tidak mampu berjalan.
Bagaimanapun anak beliau yang menjaganya, Rosli, 59, menafikan dakwaan itu dan memaklumkan bapanya sihat malah ingatannya masih kuat walaupun sudah berusia 88 tahun.
Anak kelahiran Muar itu pernah membintangi filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic termasuk berlakon dalam filem arahannya sendiri.
Beliau bukan sahaja merupakan seorang pelakon komedi dan pengarah filem yang disegani semasa aktif dalam bidang perfileman malah perintis atau bapa teknik kesan khas filem Melayu hingga pernah mendapat anugerah.
Mat Sentol yang juga popular dan pernah aktif menghasilkan iklan-iklan untuk televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo, kini banyak menghabiskan masa dengan menulis skrip mengenai kisah hidupnya.
Zaiton memberitahu, Mat Sentol merupakan seorang daripada 11,373 penerima bantuan di daerah ini dari Januari hingga kini dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM4 juta sebulan.
Sementara itu, Mat Sentol yang tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan hanya sakit lutut mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM atas sumbangan tersebut termasuk semua pihak yang menghulurkan bantuan kepadanya sebelum ini.
Bapa kepada lima anak dan 15 cucu itu mengakui rindu untuk bertemu rakan-rakan seangkatannya yang masih hidup termasuk mereka yang sudah terputus hubungan dengannya.