PORT DICKSON - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui selesa untuk terus bertanding di kerusi Port Dickson.
Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.
"Sekarang hati ini sangkut di Port Dickson kerana ia senang, 'convenience' dan dah kenal.
"Saya tengok pun sambutan jauh lebih baik diterima berbanding dulu ketika masa awal saya bertanding," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid dan Surau Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada sudah membuat keputusan untuk bertanding di kerusi mana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Anwar berkata, kemesraan dengan penduduk Port Dickson juga telah terserlah sama ada di masjid, surau dan sekolah yang mana ia berbeza berbanding dahulu kerana dirinya dianggap sebagai orang luar.
"Isu orang luar itu tak timbul lagi sebab dulu mereka takut orang luar ini jarang nak datang kawasan.
"Tapi mereka tengok sekarang dan tak sangka. Lagipun Port Dickson ini dekat," katanya.
Selain itu katanya, walaupun setiap pemimpin itu mempunyai tanggungjawab besar yang lain, namun keadaan kawasan yang diwakili perlu dijaga.