KUALA LUMPUR - Barisan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di pintu tiga Istana Negara pada Selasa.
Hadir sama pada majlis penyerahan surat itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil.
Surat itu diserahkan pengerusinya, Khalid Abdul Samad kepada wakil Istana Negara di pintu tiga.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, ini merupakan kali kedua jawatankuasa tersebut memohon menghadap dan beliau yakin Seri Paduka Baginda akan menimbangkan permohonan tersebut.
Menurutnya, pihaknya merafak sembah dan merayu kepada Seri Paduka Baginda untuk bertindak segera menamatkan kesengsaraan rakyat dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.
"Ini kerana semakin jelas bahawa pengisytiharan darurat sepertimana yang dinasihatkan Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional-Barisan Nasional tempoh hari kepada Seri Paduka Baginda telah membawa kesan yang buruk dari pelbagai sudut terutamanya ekonomi serta kestabilan politik.
"Pelabur asing juga telah menarik balik niat mereka untuk melabur di Malaysia. Selain itu, tahap pengangguran juga bertambah dan harga barang turut melambung," katanya ketika ditemui di depan pintu tiga Istana Negara pada Selasa.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, keputusan untuk menamatkan darurat atau sebaliknya terletak di bahu Seri Paduka Baginda.
"Rakyat tidak seperti biasa, berasa tidak senang (dengan kerajaan laksanakan darurat).
"Maka terpaksa kita sampaikan perkara ini (cadangan tamatkan darurat kepada Seri Paduka Baginda),” katanya.