PIBGN cadang sekolah ditutup

Iklan
Pengawal Keselamatan, Asis Samsudin, 41, menulis dan meletakkan notis penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sri Damansara 2, pada Selasa. Gambar kecil: Dr Mohamad Ali

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menutup semua sekolah buat sementara waktu.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ia susulan peningkatan kes di beberapa negeri dan pertambahan kes melibatkan sekolah.

Iklan
Iklan

"Saya mohon supaya pihak bertanggungjawab menimbang cadangan ini bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan guru-guru dan pelajar. Untuk itu, jika sekolah ditutup sementara, kita harap sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan Didik TV dilaksanakan dengan lebih sistematik.

"Langkah ini penting demi keselamatan semua pihak di sekolah terutama pelajar. Setakat ini, kita lihat sudah ada sekolah ditutup kerana peningkatan kes dan kewujudan kluster,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Pada Isnin, sebanyak 19 sekolah di Selangor diarahkan tutup bermula Selasa berikutan kewujudan kluster Covid-19, manakala semua sekolah di Miri, Sarawak juga telah diarahkan tutup selama 14 hari kerana peningkatan penularan dalam kalangan guru dan pelajar.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, semua guru di negara ini wajar diberikan keutamaan menerima vaksin kerana bersama murid setiap hari.

Iklan

"Guru-guru sebahagian daripada pasukan barisan hadapan dan saya fikir mereka ini patut diberikan keutamaan.

"Buat masa sekarang, suntikan vaksin kepada guru belum menyeluruh dan jalan terbaik untuk mengawal penularan ini adalah dengan cara menutup sekolah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat ibu bapa yang menyatakan keresahan dan kebimbangan mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah selepas trend peningkatan kes dan kewujudan kluster melibatkan sekolah.

"Walaupun kebanyakan sekolah baharu sahaja kembali memulakan sesi persekolahan secara fizikal pada Mac dan April selepas hampir setahun menjalani PdPR, tetapi kes telah kembali meningkat.

"Kementerian Pendidikan, KKM dan MKN perlu segera membuat keputusan kerana kita bimbang lebih lama kita ambil masa, maka kes terus meningkat,” katanya.