MACHANG - Dua dekad menjadi penghuni di sebalik tirai besi, Che Sabri Che Jaafar sering kali dirundung hiba tatkala mendengar laungan azan menandakan waktu berbuka puasa.
Namun perasaan yang dilalui bekas banduan Al-Ma'unah itu tahun ini amat berbeza apabila dia kini dapat mengulang kembali nikmat Ramadan yang lama dirindui bersama ibunya, Rohmah Karim, 79, dan keluarga tercinta, dalam suasana penuh kebebasan di luar tembok tinggi.
Che Sabri, 51, yang telah menjalani hukuman selama 20 tahun di penjara dibebaskan pada 17 Ogos tahun lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, meluahkan rasa syukur dapat melepaskan rasa rindu untuk mengulang kenangan berpuasa di kampung.
"Saya sangat teruja untuk menyambut Ramadan kali ini, berbuka puasa, bersahur dan bertarawih bersama ibu dan keluarga. Perasaan itu seolah tidak mampu digambarkan dengan kata-kata,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya serta kedai jahitnya di Pekan Pulai Chondong, di sini.
Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, lebih menggembirakan apabila beliau berpeluang untuk memasak pelbagai juadah kegemarannya termasuk nasi kerabu untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
"Ramadan tahun lepas saya berbuka puasa, bersahur di sebalik tirai besi dan makan apa sahaja yang disediakan oleh pihak penjara. Namun tidak menyangka tahun ini saya mampu menikmati pelbagai makanan termasuk menikmati Nasi Kerabu pada hari pertama berpuasa minggu lepas,” katanya.
Che Sabri berkata, walaupun sudah biasa berpuasa serta menyambut lebaran di penjara, namun beliau mengakui hatinya tetap sayu setiap kali tibanya Ramadan kerana merindui keluarga di kampung halaman.
Bercerita lanjut, Che Sabri berkata, beliau kini sedang mengusahakan sebuah kedai jahit pakaian lelaki yang dinamakan ‘CSCJ Tailor’ yang dibuka pada Oktober tahun lepas dan kini hampir tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
"Setakat ini hampir 100 pakaian pelanggan perlu saya siapkan sebelum hari raya nanti antaranya baju Melayu, kurta dan jubah dengan upah serendah RM120 hingga RM150.
"Bermula awal Ramadan ini saya telah berhenti ambil tempahan kerana khuatir tidak mampu menyiapkannya. Hampir setiap hari saya mula menjahit sekitar 9 pagi hingga 4 petang dan sebanyak dua pasang baju saya mampu siapkan dalam sehari,” katanya.
Beliau yang turut memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang jahitan ketika berada di penjara itu turut berhasrat mengembangkan kedai jahitannya.
"Saya juga ingin membantu bekas penghuni penjara yang mempunyai kemahiran menjahit untuk berkecimpung dalam bidang ini sebagai alternatif sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan selepas keluar dari penjara. Setakat ini juga saya ada menghantar beberapa pakaian pelanggan kepada mereka jika saya tidak sempat untuk menyiapkannya,” katanya.
Che Sabri adalah antara 13 penghuni penjara yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dikurniakan pembebasan awal sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun lepas.
Dia dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2000 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai Pertubuhan Al-Ma'unah. - Bernama