Bazar Ramadan bukan penyumbang peningkatan kes Covid-19

Iklan
Keadaan di bazar Ramadan masih terkawal dan mempunyai SOP untuk memastikan pelanggan berada dalam penjarakan fizikal.

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menafikan bahawa bazar Ramadan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di beberapa buah negeri baru baru ini.

"Bazar bukan penyebabnya, punca utama adalah bila tidak ada kepatuhan pada Prosedur Operasi Standard (SOP). Jika semua patuh pada SOP yang telah ditetapkan, tiada kes dan jangkitan Covid-19 akan berlaku.

Iklan
Iklan

"Apabila terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan, penilaian risiko akan dijalankan dan sebarang keputusan sama ada arahan penutupan ataupun tidak adalah bergantung kepada hasil penilaian risiko tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Noor Azmi

Turut menyokong ulasan tersebut, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, peningkatan kes Covid-19 masih dapat dikawal jika mematuhi SOP dengan betul.

Iklan

"Pada masa ini masih lagi dalam keadaan yang boleh dikawal kalau semua pihak memainkan peranan untuk jaga penjarakan fizikal, pakai topeng muka dan cuci tangan.

"Apabila banyak sektor dibuka dan banyak kelonggaran diberi, memang ada risiko di situ. Jadi SOP itu amat penting untuk dipatuhi,” katanya.

Iklan

Namun, beliau juga menyokong cadangan bazar Ramadan perlu ditutup jika terdapat kes di tempat tersebut yang boleh menyebabkan penyebaran Covid-19 kepada penduduk setempat.

"Kalau di tempat itu terbukti ada kes mungkin akan ditutup dan KKM perlu buat penilaian risiko bagi mengenal pasti puncanya di mana,” katanya.

Beliau turut berkata, impak penutupan bazar akan menjejaskan ekonomi negara terutamanya golongan yang bekerja sendiri dan B40.

"Jika bazar ditutup ketika bulan puasa ini, ia akan menjejaskan ekonomi yang kebanyakannya melibatkan peniaga golongan B40 dan bekerja sendiri.

"Oleh itu, komuniti yang mengadakan bazar tersebut hendaklah meneliti secara menyeluruh bagaimana penularan itu berlaku dan apakah tindakan yang terbaik untuk mengekang peningkatan kes,” katanya.

Azmi dan Rohaizat diminta mengulas mengenai satu video tular di media sosial yang mempertikai mengenai data KKM serta meminta tidak mengaitkan peningkatan kes Covid-19 dengan kluster bazar Ramadan dan Tarawaih.

Rohaizat

Dalam pada itu, seorang peniaga bazar Ramadan di Taman Nirwana, Ampang, Adriana Mazlani, 18, berkata, situasi di bazar masih terkawal di samping mempunyai SOP yang telah ditetapkan.

"Sebagai peniaga, kami memang menjaga SOP pelanggan yang datang seperti penjarakan fizikal ketika membeli dan memakai topeng muka setiap masa.

"Apabila waktu sibuk ketika hampir berbuka, pelanggan menjadi ramai dan agak sukar menjaga SOP setiap orang namun keadaan masih boleh dikawal peniaga seperti saya memastikan mereka tidak bertolakan,” katanya.