Dari tarawih ke meriam batang kelapa

Iklan

BAGI saya, saat paling menyeronokkan berpuasa pada zaman kanak-kanak adalah ketika berusia sekitar sembilan hingga 12 tahun.

Waktu belum akil baligh. Belum mimpi. Waktu sentuh budak perempuan belum batal wuduk.

Iklan
Iklan

Pada lingkungan usia itu kanak-kanak, lelaki terutamanya, berada dalam keadaan sangat kreatif dan aktif. Ditambah pula dengan kurangnya pantang-larang dan sekatan oleh ibu bapa atau masyarakat.

Pada usia begitu apa juga kesalahan yang dibuat - contohnya menyakat budak perempuan sehingga menangis - biasanya akan dirasionalkan dengan ayat,"Alaaa, biasalah budak-budak.”

Iklan

Cuba umur mencecah 18 tahun atau 37 tahun, tidak ada siapa akan kata begitu untuk ‘menghalalkan’ perbuatan kita.

Pada lingkungan usia itu juga saya sudah mula berpuasa penuh. Kalau ada pun ‘terminum’ air paip di sekolah mungkin cuma dua tiga kali.

Iklan

Termakan biskut sekali dan terkulum gula-gula sekali. Itu sahaja.

Masih boleh dikategorikan cemerlang dari segi pencapaian keseluruhan.

Pada awal 1980-an, suasana kehidupan jauh berbeza daripada sekarang.

Televisyen warna masih menjadi barang mewah yang hanya dimiliki oleh mereka yang have-have.

Yang banyak digunakan hanya televisyen hitam putih. Itu pun bukan semua rumah memilikinya.

Siaran televisyen pula cuma dua saluran, TV1 dan TV2. Jam 12 tamat siaran. Jam 5 atau 6 petang baru mula.

Dengan keadaan televisyen yang sedemikian, ditambah pula tiada internet, tiada telefon genggam, tiada game console dan serba-serbi seumpamanya, faktor yang menarik budak-budak untuk berkurung di rumah memang tiada.

Tetapi untuk kami, budak-budak pada zaman itu, semuanya tidak menjadi masalah. Di rumah mungkin sunyi sepi, tetapi di luar banyak keseronokan menanti.

Penat puasa tidak terasa apabila kita bersama kawan-kawan di luar.

Bermain sembunyi-sembunyi, kejar-mengejar, panjat pokok, mandi sungai, menggetah burung, semuanya boleh dilakukan hatta di tengah panas terik. Bila penat, balik ke rumah, tidur sambil membayangkan air sirap bercampur biji selasih.

Jika bernasib baik, emak dan abah tidak kisah, boleh tidur sampai petang. Bangun nanti, terus bersiap-siap untuk pergi beli air batu bersalut sekam padi atau habuk papan.

Malam bulan Ramadan merupakan saat paling syahdu bagi budak-budak kampung macam saya. Menjelang Isyak kami sudah mula berkumpul di sekitar surau. Masing-masing tidak sabar menanti solat tarawih bermula. Lebih tepat lagi, segera bermula dan cepat-cepat berakhir.

Bersolat tarawih ini pun banyak keseronokannya. Antaranya kita boleh melihat muka-muka yang sebelumnya tidak pernah kelihatan di surau atau masjid, tiba-tiba menjadi wajah ‘wajib nampak’.

Sebahagiannya memang betul-betul datang untuk beribadah, tetapi tidak kurang juga yang selepas rakaat kelapan mula cari kawan bermain. Yang pasti dia tidak akan berganjak sebelum juadah moreh disajikan.

Kami yang budak-budak ini pun begitu. Nama sahaja datang bertarawih tetapi lebih banyak masa dihabiskan di halaman surau daripada di atas surau. Kejar-mengejar, riuh-rendah.

Sekali ditegur, sekali perlahan, tetapi kemudian riuh kembali.

Kalau ada orang tua-tua yang garang menegur kami, jarang kami lepaskan dia begitu sahaja. Bila dia di atas surau nanti, kami mula atur strategi.

Kami pernah ikat selipar seorang pakcik dengan mercun tarik, jadi apabila dia menyarung selipar itu dan mula melangkah, yang meletup bukan sahaja mercun tetapi juga sumpah seranahnya.

Seorang pakcik yang lain kami masukkan minyak pelincir motosikal dalam kasut sarungnya, manakala yang seorang lagi kawan saya baling sebelah seliparnya ke dalam parit.

Sehingga sekarang, setelah lebih 40 tahun dan setelah pakcik itu menjadi arwah, selipar itu masih tidak ditemui.

Seperti jemaah lain, saya juga suka moreh. Tetapi bagi kami budak-budak, menu memainkan peranan.

Jika menunya nasi dengan ayam masak kicap, awal-awal lagi kami bersiapsiaga. Tetapi kalau setakat karipap inti angin, atau pada tafsiran kami lebihan kuih berbuka, tidak rela kami tukar dengan keseronokan bermain.

Bermain

Bulan puasa di kampung tidak boleh dipisahkan dengan bunga api, mercun dan meriam batang kelapa.

Semua itu ada daya penariknya tersendiri. Jika ada kawan bermain bunga api atau mercun, berkejarlah kami mengerumuninya.

Dapat tengok pun sudah seronok sangat, sudah meleleh-leleh air liur.

Maklumlah hendak beli sendiri tidak mampu. Hanya sekali sekala, kalau ada duit lebih, kami berkongsi membeli sepaket, kemudian bermain bersama-sama. Dapat cucuh seorang sekali atau dua kali, habis.

Itu sebabnya saya pernah berangan-angan apabila dewasa nanti, apabila telah bekerja, saya hendak habiskan sebulan gaji untuk membeli mercun dan bunga api.

Kemudian saya hendak main sepuas-puas hati.

Mujurlah setelah dewasa saya abaikan cita-cita itu, jika tidak mungkin ada yang gelar saya ‘Budiman Gila’.

Saya tidak pandai buat meriam batang kelapa. Mencucuhnya pun saya tidak berani.

Selalu terbayang batang kelapa itu pecah, api menyambar muka dan saya terpaksa beraya di wad. Jadi kebolehan dan kemahiran saya hanyalah menonton.

Kampung akan menjadi meriah apabila meriam berdentum-dentam. Berlawan-lawan.

Di sana berbunyi, di sini membalas. Yang bermain pula bukan sahaja budak-budak, tetapi juga mereka yang telah dewasa. Orang tua pun ada.

Seorang pakcik misalnya, pada masa itu telah berumur hampir 60 tahun, tetapi masih merupakan peminat meriam buluh tegar.

Dia suka melayan budak-budak. Oleh itu dia sering bermain dengan mereka.

Apabila ditanya, tidakkah dia jemu mendengar dentuman meriam dari muda sehingga ke tua? Jawapannya ringkas:"Telinga aku dah biasa, suara bini aku lebih kuat daripada bunyi meriam ni!”

Pada masa dahulu, raya dan pelita berpisah tiada. Walaupun lazimnya dipasang hanya selepas seminggu atau dua minggu berpuasa, tetapi persiapan kerap kali dibuat lebih awal.

Jarang orang kampung belikan pelita ready made untuk anak-anak. Kalau hendak pasang, usahakanlah sendiri. Maka tin susulah yang kerap dijadikan sasaran.

Sumbunya pula dibuat daripada kain buruk. Bagi yang senang mendapat buluh, mereka akan buat panjut −batang buluh yang ditebuk dengan lubang-lubang yang kemudiannya dimasukkan sumbu.

Mencari duit raya juga satu keseronokan. Bagi yang rajin menabung, duit raya mula dikumpul lima enam bulan, atau mungkin lebih awal, sebelum Ramadan tiba.

Tetapi bagi yang rajin korek tabung macam saya, usaha itu hanya bermula pada bulan puasa.

Duit upah emak suruh ke kedai, duit lebihan beli juadah, semuanya disimpan. Tetapi selalunya duit itu tidak sempat bertahan sehingga raya.

Cecah sahaja lima enam puluh sen mulalah dilabur dan dileburkan ke mercun dan bunga api.

Seorang kawan saya mencari duit raya dengan mengumpul botol dan tin kosong.

Yang seorang lagi pula mengambil upah membantu emaknya menjual kuih.

Tetapi yang paling hebat kawan yang satu ini; dia mengambil upah membelikan minuman, nasi bungkus, rokok dan sebagainya untuk sesiapa yang tidak berpuasa.

Pendapatannya lumayan, tetapi sehingga dewasa hidupnya tunggang langgang.

"Agaknya ini kifarah aku bersubahat dengan geng tak puasa tu dulu,” katanya kepada saya suatu ketika dahulu. Kumpulan plastik hitam itu ada di mana-mana. #dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia