ALOR SETAR - Penjawat awam di negeri ini perlu menitikberatkan integriti kerana perkara itu antara faktor yang dinilai pelabur sama ada untuk menanam modal atau bekerjasama membawa pelaburan ke Kedah.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam tempoh pandemik Covid-19 yang memberikan kesan ekonomi di seluruh dunia, Kedah turut merasa tempias, namun prospek pelaburan untuk masa hadapan adalah sangat baik.
Beliau tidak menolak bahawa faktor integriti juga akan membawa kepada keberkatan dalam setiap usaha dilakukan.
"Dalam urusan ini, peranan pegawai tadbir sangat penting tidak kira sama ada tuan-tuan dalam perkhidmatan negeri atau Persekutuan.
"Saya rasa bertuah kerana sepanjang tempoh ini saya mendapat kerjasama penuh daripada pasukan-pasukan yang dapat bekerja dengan pantas dan cekap," katanya dalam ucapan sebelum Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar bersama Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Pegawai Tadbir Persekutuan, Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad.
Mengulas lanjut katanya, komitmen pelaburan yang terkumpul setakat ini sudah mencecah RM70 bilion sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan negeri Kedah bermula 17 Mei tahun lalu.
"Hampir setiap bulan ada sahaja pelabur datang membawa cadangan untuk pelbagai projek yang kadang-kala membuatkan saya sendiri tertanya-tanya apa yang membuatkan mereka begitu tertarik untuk melabur di Kedah?
"Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri bagi Projek-projek Bawah NCIA pada Isnin, dilaporkan nilai pelaburan yang telah diluluskan untuk projek-projek NCIA di Kedah dalam suku pertama tahun ini sahaja sudah mencecah RM6.8 bilion," katanya.
Beliau turut berharap momentum tersebut dapat diteruskan kerana tidak mahu Kedah terus muncul tercorot dalam kedudukan ekonomi negara sebagai negeri yang kedua paling miskin di Malaysia.
Malah katanya, beliau masih teringat pesanan Menteri Besar Kedah terdahulu iaitu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak kepadanya mengenai tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat.
"Pesan Ustaz Azizan kepada saya suatu ketika dahulu, apabila kita bekerja makan gaji, ikrar kita adalah untuk menjaga rakyat.
"Jika kita terleka daripada memikirkan hal rakyat, kita seharusnya berasa bimbang dengan duit gaji yang kita dapat, adakah ia halal untuk kita," katanya.