PASIR PUTEH - Seorang wanita berstatus janda yang menjadi 'hamba dadah' sejak dua tahun lalu dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh, di sini pada Selasa.
Wanita berusia 31 tahun dan mempunyai dua cahaya mata itu dicekup menerusi Ops Hawa yang dijalankan di sekitar jajahan ini.
Iklan
Iklan
Ketua Pegawai AADK, Azlina Mohd Zain berkata, semasa dicekup wanita tersebut berada dalam keadaan normal.
"Hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, menerusi Op Hawa AADK Pasir Puteh itu turut menahan seorang ibu muda berusia 29 tahun yang mempunyai dua orang anak.
Beliau berkata, ibu muda ini dipercayai sudah sedekad menjadi penagih sejak berusia belasan tahun lagi.
Katanya, AADK Pasir Puteh akan terus melipatgandakan operasi mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dan berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat.