SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggarkan Malaysia perlu masa sekitar lima tahun untuk memberi vaksin kepada 23.6 juta penduduk dan bebas daripada Covid-19 berdasarkan jumlah penerima yang masih rendah.
Beliau berkata, jumlah dos diberi sejak fasa dua bermula juga tidak jauh berubah berbanding kadar dicapai dalam fasa pertama malah belum mencapai sasaran 160,000 dos sehari walaupun program vaksinasi kini masuk bulan ketiga.
Menurutnya, fasa kedua program vaksinasi yang melibatkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac, memberi keutamaan kepada 9.4 juta penerima warga emas berusia 60 tahun ke atas, penghidap penyakit kronik dan orang kurang upaya.
"Jumlah dos diberi hari pertama (Isnin) 32,807. Jumlah dos diberi hari kedua (Selasa) 33,131. Kadar ini tidak banyak berubah berbanding kadar yang dicapai dalam fasa pertama yang bermula sejak bulan Februari lalu.
"Setakat ini, hanya 748,444 orang (2.2 peratus daripada penduduk) telah diberi dos pertama di mana 462,335 orang (1.4 peratus) selesai dos kedua.
"Jika kadar ini berterusan, Malaysia masih perlu masa sekitar lima tahun untuk mencapai matlamat kerajaan untuk memberi vaksin kepada 23.6 juta penduduk untuk Malaysia bebas Covid," katanya dalam catatan di laman Facebooknya pada Rabu.
Dalam pada itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, walaupun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah menafikan kadar pemberian vaksin Malaysia masih perlahan daripada Singapura tapi realitinya kadar pemberian vaksin Singapura adalah jauh lebih tinggi.
"Setakat semalam (Selasa), Singapura telah memberi 2.2 juta dos vaksin (berbanding 1.2 juta di Malaysia) di mana 23.9 peratus penduduk menerima dos pertama dan 14.9 peratus selesai dos kedua.
"Semua rakyat harap kadar pemberian vaksin di Malaysia boleh ditingkatkan dan akan mencapai sasaran 160,000 dos sehari yang ditetapkan kerajaan tak lama lagi," kata bekas Perdana Menteri itu.
Najib berkata, kini cabaran utama program vaksinasi bukan lagi mengenai jumlah orang yang mendaftar rendah tetapi kadar pemberian vaksin yang masih rendah.
"Setakat Selasa, kerajaan lapor seramai 9,100,472 orang telah berdaftar tapi hanya 748,444 orang telah diberi dos pertama.
"Biarpun itu, orang ramai digalakkan untuk berdaftar secepat mungkin melalui apps MySejahtera untuk menjayakan program vaksin sebab jumlah orang yang telah mendaftar masih rendah berbanding 23.6 juta orang yang disasar," katanya.