KEMAMAN – Pertandingan Kitar Semula & Plastik (PKSP2021) anjuran University College TATI (UC TATI) berjaya mengutip sebanyak 26.4 tan pelbagai barangan kitar semula dalam tempoh tiga minggu yang bermula akhir Februari lalu.
Pengarah Program PKSP2021, Marsita Abdul Ghani berkata, pelbagai jenis barangan kitar semula yang dikutip seperti plastik, aluminium dan tin, kertas dan kotak serta e-waste itu hasil penyertaan 10 sekolah menengah di seluruh negeri Terengganu.
"Setiap hari kita berdepan dengan sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah sesuka hati menyebabkan masalah sampah semakin parah manakala tempat pelupusan sampah pula semakin nazak, namun pihak kerajaan dan beberapa badan bukan kerajaan tidak pernah berputus asa dalam memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga kebersihan alam dan kitar semula.
"Pertandingan ini merupakan salah satu usaha UC TATI dengan kerjasama beberapa syarikat swasta dan badan kerajaan dalam memberi semangat kepada pelajar dan masyarakat supaya jadikan kitar semula sebagai cara hidup seharian,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pertandingan ini melibatkan tiga kategori iaitu Kategori Jualan Barangan Kitar Semula, Kategori Inovasi Kitar Semula Plastik dan Kategori Hero3R dengan penyertaan keseluruhan sebanyak 28 buah sekolah menengah di seluruh negeri.
Kesemua pertandingan dijalankan secara dalam talian disebabkan kekangan pandemik Covid-19.
Menurut Marsita, selepas kejayaan penganjuran PKSP2021, pihaknya berhasrat meneruskan pertandingan seumpama itu pada masa akan datang sebagai kempen berterusan kepada masyarakat tentang kepentingan kitar semula.
"Kita mahu lebih banyak sekolah menyertai program ini, ia selaras dengan usaha kerajaan memupuk semangat kitar semula dalam kalangan masyarakat bagi mengurangkan pembuangan sampah di tempat pelupusan sampah,” katanya.