KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang meletakkan peralatan yang mempunyai ciri-ciri menangkis tembakan dan seumpamanya, sama seperti fungsi pemakaian baju kalis peluru di pos kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya telah membuat kajian dan membawa idea itu kepada pihak berkaitan bagi memastikan setiap pos kawalan dapat bertahan daripada serangan dan tembakan musuh.
"(Ia) bukannya beg pasir (akan tetapi peralatan) yang menggunakan teknologi ves bullet proof yang digunakan untuk pos kawalan sebagai penampan. Sebelum ini, penggunaan peralatan ini tiada (di pos kawalan) bermakna kita terdedah untuk ditembak.
"Kami telah bawa cadangan ini ke peringkat seterusnya dengan jumlah kewangan yang diperlukan. (Ketika ini, ia mungkin diletakkan) di kawasan titik panas sahaja dan kita tidak buat untuk semua pos kawalan (kerana ia memerlukan peruntukan yang tinggi),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkembangan kejadian anggota Pasukan Gerakan Am yang ditembak di sempadan pada tahun lepas, beliau berkata, masih terdapat tiga suspek disyaki yang masih belum diserahkan oleh pihak berkuasa Thailand.
"Masih ada lagi tiga orang yang belum diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada kita (PDRM) dan kita harap perkara itu akan berlaku pada masa akan datang.
"Apa yang saya hendak beritahu setakat ini, kawalan sempadan Malaysia-Thailand sama ada di Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah adalah dalam keadaan terkawal sekarang,” katanya.
Pada 24 November tahun lepas, anggota PGA mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang dinaikkan pangkat kepada sarjan, terbunuh manakala rakannya Norihan Tari cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.
Baharuddin dan Norihan, dari unit Senoi Praaq PGA yang terlibat dalam pengumpulan maklumat, telah terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup, menyebabkan berlakunya kejadian berbalas tembakan itu.
Mengulas mengenai tindakan pihaknya jika sempadan negara diserang penjenayah seperti penyeludup membaling batu atau melepaskan tembakan di udara, beliau berkata, pihaknya akan melaporkan kejadian seperti itu kepada pihak berkuasa Thailand untuk diambil tindakan selanjutnya.
"(Ini kerana) sebenarnya kita mempunyai perjanjian dengan pihak Thailand. Kalau tembakan atau perbuatan itu berlaku dari Thailand, kami tidak akan bertindak balas, kita akan melaporkan kepada pihak mereka untuk diambil tindakan.
"Lagi satu kita tidak mahu menimbulkan suasana yang tidak harmoni dengan pihak Thailand. Itu adalah perjanjian kita dengan pihak Thailand,” katanya.
Pada Oktober 2019, kawasan pos kawalan 19 PGA berhampiran pagar sempadan di Padang Besar diserang sekumpulan dipercayai warga Thailand menggunakan mercun roket.
Satu tembakan memecahkan cermin pos kawalan dan satu lagi mengenai dinding pos berkenaan. - Bernama