Agong bangga pelantikan Dr Adeeba sebagai anggota Majlis Sains WHO

Iklan

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pakar penyakit berjangkit negara, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman atas pelantikan menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pelantikan berkenaan kerana majlis tersebut merupakan kumpulan penasihat peringkat tertinggi yang dianggotai sarjana-sarjana terkemuka dunia, sekali gus menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Iklan
Iklan

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pelantikan Dr Adeeba bukan sahaja satu pengiktirafan kepada beliau sebagai individu yang berprestasi tinggi, malah kepada Malaysia.

"Ia juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook pada Rabu.

Iklan

Seri Paduka Baginda juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Adeeba serta mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah turut berharap kejayaan itu akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Iklan

Majlis Sains WHO bertindak sebagai suara kepemimpinan saintifik dalam memberi saranan dan nasihat mengenai kemajuan sains dan teknologi yang secara langsung dapat memberi kesan kepada kesihatan global.

Anggota majlis itu terdiri daripada pakar terkemuka di peringkat antarabangsa dengan rekod pencapaian dalam bidang masing-masing serta mempunyai kefahaman yang diiktiraf mengenai kesihatan global.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, Dr Adeeba juga memegang jawatan sebagai pengerusi Yayasan AIDS Malaysia dan ahli eksekutif Majlis AIDS Malaysia.

Beliau aktif di barisan hadapan dengan menjadi orang penting dan penggerak kempen kesedaran penyakit HIV dan AIDS, selain mengasaskan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS yang menjalankan kajian pelbagai disiplin tentang HIV dari segi klinikal, kesihatan awam dan dasar berkaitan.

Pada 2013 dan 2014, beliau telah diberi penghormatan dengan ditampilkan dalam jurnal The Lancet dan Science.

Tahun lepas, Dr Adeeba mencipta sejarah menjadi orang Asia pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa. - Bernama