Mekanik dijel 18 bulan, terima hasil rompakan

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Seorang mekanik dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menerima hasil rompakan berkumpulan, bulan lalu.

Ibnu Sina Idris, 28, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjarakan bermula tarikh tangkap iaitu 26 Mac 2021.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curang menerima secara tidak jujur satu telefon bimbit jenama realme, milik seorang pengurus bangunan, Abu Bakar Che Mat, 63.

Iklan

Ia di mana tertuduh mengetahui atau ada sebab munasabah untuk mempercayai bahawa barang tersebut adalah hasil rompak berkumpulan.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Jalan Gombak, di sini pada jam 5 petang, 26 Mac lalu.

Iklan

Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan mencadangkan tertuduh menerima hukuman setimpal sebagai pengajaran, dengan mengambil kira keseriusan kes dan kerugian yang ditanggung oleh mangsa.

Bagaimanapun, Ibnu Sina yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan tersebut selain perlu menyara tiga anak.