PPTGWP jamin Sekolah Convent Bukit Nanas tidak dirobohkan

Iklan
PPTGWP memberi jaminan bahawa Sekolah Convent Bukit Nanas tidak akan dirobohkan walaupun pajakan tanah sekolah itu tamat.

KUALA LUMPUR - Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) memberi jaminan bahawa Sekolah Convent Bukit Nanas tidak akan dirobohkan walaupun pajakan tanah sekolah itu tamat.

Menurut laporan akhbar The Star pada Rabu, Pengarah PPTGWP, Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, tanah tersebut akan diserahkan kepada kerajaan bagi membolehkan ia diwartakan sebagai sekolah bantuan kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan kerajaan tidak memperbaharui pajakan tanah bagi memastikan sekolah tersebut menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan supaya dapat menerima semua manfaat yang diperlukan pada masa depan.

"Jadi lebih elok jika sekolah itu menjadi sekolah yang dibantu sepenuhnya.

Iklan

"Buat masa ini, sekolah tersebut dibantu secara separa dan disebabkan sekolah itu sudah terlalu lama, ia akan mendapat banyak manfaat jika dibantu kerajaan sepenuhnya," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Yasir berkata, disebabkan sekolah tersebut terletak berhampiran cerun, kerja-kerja pembaikan akan ditanggung oleh kerajaan jika berlaku tanah runtuh atau hakisan di kawasan tersebut.

Iklan

Beliau mengulangi bahawa sekolah terbabit akan kekal sebagai sekolah dan tidak akan ada pembangunan lain di tanah tersebut.

"Tidak ada yang mengerikan mengenai masalah ini (tidak memperbaharui pajakan).

Bagaimanapun katanya, jika Ketua Wanita Persatuan Saint Maur ingin meneruskan operasi sekolah itu, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang memiliki pajakan tanah tersebut.

"Jika mereka memilih untuk melakukannya, sekolah tersebut mungkin tidak dapat menikmati manfaat penuh daripada kerajaan," katanya.

Pada Selasa, kerajaan melalui kabinet diminta mengambil tindakan segera memperbaharui pegangan pajakan tanah Sekolah Convent Bukit Nanas yang ditubuhkan sejak 1899.

Pakar perancangan bandar, Derek Fernandez berkata, sekolah bersejarah di Kuala Lumpur itu telah melahirkan ramai tokoh terkenal dan memberikan pendidikan kepada puluhan ribu wanita.

Menurutnya, sekolah tersebut layak disenaraikan sebagai warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.