KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu menafikan wujud masalah dalam agihan kerusi antara parti komponen melibatkan Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagaimana tular dalam media sosial.
Setiausaha Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) Terengganu, Zulkifli Ali berkata, proses rundingan kerusi masih di peringkat awal dan oleh itu sebarang maklumat yang ditularkan oleh pihak tertentu adalah tidak tepat serta mengelirukan.
Menurutnya, MPPH Terengganu telah mengadakan mesyuarat mengenai agihan kerusi pada 10 April lalu yang dihadiri kepimpinan utama dari PKR, Amanah dan DAP.
"Mesyuarat bersetuju bahawa sebarang pertindihan (kerusi) antara mana-mana parti perlu diselesaikan terlebih dahulu antara kedua-dua parti tersebut sebelum disahkan dalam mesyuarat MPPH Negeri Terengganu.
"Justeru tidak timbul isu mana-mana parti memberikan sokongan kepada parti komponen yang lain dalam proses rundingan kerusi.
"Hasil rundingan akan dibawa kepada Mesyuarat MPPH Negeri Terengganu yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Agihan kerusi PH Terengganu dilaporkan bermasalah apabila PKR dikatakan kesal dengan kehendak Amanah dan DAP yang mahu 10 kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
PKR juga dikatakan kesal dengan tindakan DAP yang menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang ditandingi oleh PKR sebelumnya.
Zulkifli berkata, hubungan antara parti komponen PH Terengganu kekal dalam keadaan utuh.
"MPPH Negeri Terengganu sentiasa menggunakan ruang musyawarah untuk menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit selain merangka usaha-usaha dalam memperkasakan PH Negeri Terengganu,” katanya.