SEMENYIH - Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pas Selangor akan meneruskan kerjasama dengan BN bagi memenangkan calonnya Hanafi Zakaria pada PRK DUN Semenyih 2 Mac ini.
Katanya, tidak timbul salah faham berhubung maksud kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengenai tahap komitmen Pas yang sedikit berbeza antara DUN Semenyih berbanding PRK Cameron Highlands.
"Apa yang dimaksudkan Takiyuddin adalah berhubung pemilihan calon parti lawan Bersatu yang juga mencalonkan calon Melayu, yang pastinya memerlukan pendekatan berbeza pada PRK kali ini.
"Komitmen tak sama maksudnya di Cameron Highlands kita (Pas) berlawan dengan DAP, calon Melayu dan bukan Melayu sedangkan di sini calon Melayu sama Melayu kita mesti guna pendekatan berbeza itu maksudnya," katanya ketika ditemui media dalam satu program bersama bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatuni penduduk Semenyih, di tapak pasar malam Sri Jenaris, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PRK Semenyih: Hubungan Pas-BN kekal
Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, untuk PRK kali ini, parti itu tidak memberikan tahap pembabitan seperti di Cameron Higlands.
Kata Takiyuddin, pendirian itu selaras dengan sikap Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi hal-hal lain, serta hubungan mereka dengan Umno dibuat atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.
Katanya, Pas menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu BN, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands.
Mengulas lanjut katanya, komitmen Pas untuk memenangkan calon BN tetap tinggi kerana itulah agenda Pas pada PRK kali ini.
"Calon Pas peroleh enam ribu lebih undi di PRU14 lalu, kita akan beri komitmen untuk pastikan undi itu akan diberi kepada BN dengan harapan pengundi dan penyokong Pas akan keluar mengundi," katanya.
Sementara itu ditanya sama ada penyokong akar umbi Pas berpuas hati dengan calon BN, Hanafi Zakaria pada PRK kali ini, katanya mereka amat berpuas hati.
"Pengundi berpuas hati anggap calon BN terbaik," tegasnya.