Bekalan darah di Hospital Melaka di tahap selamat

Iklan
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong (empat, kanan) merasmikan Kempen Menderma Darah 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Merbau, Jasin.

JASIN - Bekalan darah di Hospital Melaka masih di tahap mencukupi bagi kegunaan pesakit di seluruh negeri Melaka.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Low Chee Leong berkata, meskipun kesedaran masyarakat terhadap amalan menderma darah masih rendah namun bekalan darah masih pada paras selamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kini terdapat kira-kira 3,500 pek darah pelbagai jenis tersedia di hospital tersebut bagi kegunaan pesakit termasuk untuk hospital-hospital lain di negeri ini.

"Bagaimanapun, kita tetap akan terus menggiatkan kempen derma darah dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan darah sentiasa stabil untuk kegunaan pesakit memerlukan.

Iklan

"Diharap usaha berterusan ini dapat membantu kita mencapai sasaran 30,000 pek darah setiap tahun," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Menderma Darah 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Merbau, di sini.

Kempen anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T) Jasin Lalang dengan kerjasama PIBG SK Ayer Merbau dan SJK(C) Jasin Lalang.

Iklan

Jelas Chee Leong, setiap tahun pihaknya menyasarkan sebanyak 30,000 pek darah melalui kempen-kempen derma darah atau sumbangan terus di tabung darah Hospital Melaka.

"Walaupun pada tahun lalu tidak berjaya capai sasaran tersebut, kita akan pastikan tahun ini jumlah 30,000 pek darah itu dapat dicapai demi menampung keperluan pesakit," ujarnya.

Selain itu tambahnya, kurangnya kesedaran mengenai faedah kesihatan melalui derma darah antara penyebab orang ramai kurang melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Selain faedah kesihatan seperti mengurangkan risiko sakit jantung, penderma darah juga boleh menikmati keistimewaan jika mereka mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan," katanya.