Pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India perlu lebih kontemporari

Iklan
Sivarraajh Chandran

SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India yang memberi tumpuan terhadap usaha pembangunan sosio ekonomi masyarakat India perlu dilakukan secara lebih kontemporari dan tersasar berbanding dengan sebelum ini.

Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, penyusunan semula perlu dilakukan bagi memberi keutamaan kepada sektor-sektor tertentu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara tersebut penting agar peruntukan sebanyak RM100 juta yang diberikan kepada Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) dapat digunakan dengan sebaik mungkin mengikut keperluan sebenar masyarakat India terutama semasa wabak Covid-19 ini.

"Cadangan saya adalah menggunakan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada peruntukan tahunan untuk program yang bersifat kesan secara terus. Antaranya adalah melalui penyediaan peruntukan peranti pembelajaran secara dalam talian kepada 10,000 pelajar dari latar belakang yang memerlukan dengan kos RM10 Juta.

Iklan

"Selain itu, penyediaan peruntukan untuk membekalkan subsidi perkhidmatan internet kepada sekurang-kurangnya 10,000 isi rumah yang memerlukan dengan kos RM18 juta untuk tempoh dua tahun.

"Kedua-dua cadangan ini adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan memiliki peranti dan sambungan internet demi pembangunan sosioekonomi kontemporari yang melibatkan pelbagai sektor seperti pendidikan, kemahiran dan peluang perniagaan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sivarraajh berkata, peruntukan itu juga perlu digunakan untuk mewujudkan skim latihan dan pembangunan kemahiran yang tersasar agar dapat melatih tenaga kerja dari masyarakat India secara lebih efektif.

Beliau berkata, Mitra boleh mewujudkan kerjasama strategik dengan syarikat Microsoft untuk menganjurkan program latihan dan pembangunan kemahiran bagi memenuhi keperluan hampir 19,000 peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.

"Selain itu, tumpuan juga harus diberikan terhadap usaha mewujudkan sistem pendidikan prasekolah yang lebih efisien bagi masyarakat India.

"Mitra juga harus memberi keutamaan terhadap usaha-usaha pembangunan modal insan masyarakat India. Misalnya, program Intervensi bertajuk '1 Force Against Crime' yang dijalankan sebagai langkah menyantuni anak muda yang didapati berpotensi terlibat dalam gejala aktiviti jenayah.

"Program seperti ini juga harus diteruskan dan bukannya diadakan sebagai program bersifat 'one off' semata-mata. Mitra juga boleh pertimbang untuk mendanai program intervensi yang lebih kontemporari seperti pencegahan permasalahan rumah tetangga ataupun pembangunan kesihatan mental yang secara kebetulan menjadi antara isu utama sejak bermulanya pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata, Mitra perlu memberi tumpuan secara lebih bersasar mengikut keperluan terkini bagi membantu penggubalan Pelan Tindakan Masyarakat India yang lebih komprehensif agar lebih ramai dapat menerima manfaat secara langsung mahupun tidak langsung.

Selain itu, KPN juga perlu mengusahakan peruntukan yang lebih tinggi bagi melaksanakan pendekatan baharu yang lebih luas dan merangkumi segenap keperluan agenda pembangunan sosio ekonomi masyarakat India.

"Oleh itu, saya berharap kerajaan juga akan mempertimbangkan permohonan saya ini untuk meningkatkan jumlah peruntukan tahunan Mitra selaras dengan komitmen yang diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sidique.

"Komitmen kerajaan terhadap agenda pembangunan sosio ekonomi masyarakat India melalui Pelan Tindakan Masyarakat India tidak boleh terhad kepada pengumuman komitmen mahupun pelaksanaan program sedia ada semata-mata, namun perlu berteraskan keperluan kontemporari pada hari ini,” katanya.