"KITA perlukan seorang lagi pertahanan import,” itu reaksi ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.
Beliau berkata, kehadiran pemain import berkenaan diharap mampu untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan.
"Kekalahan 2-3 kepada Selangor menyaksikan benteng pertahanan PKNP FC sukar untuk mengekang asakan-asakan daripada jentera serangan lawan.
"Kita akan cari lagi satu pemain import bagi melengkapkan kuota bagi import ASEAN dan sekali gus membantu benteng pertahanan pasukan," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi berdepan PJ FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), semalam.
Abu Bakar berkata setakat ini PKNP FC belum membuat sebarang keputusan namun ia perlu dibuat cepat kerana tarikh tutup pendaftaran adalah pada 20 Februari ini.
"Bagaimanapun, rundingan bersama ejen melibatkan pemain dari Filipina termasuk dua tiga negara ASEAN lain sedang berjalan dan kita harap pemain yang dipilih nanti bersedia untuk beraksi,” katanya.
Untuk rekod, PKNP FC memiliki empat pemain import melibatkan pemain pertahanan dari Tajikistan Siyovush Asrorov, Thomas Abbey (tengah, Ghana) Yashir Pinto (penyerang, Palestin) dan Kalidou Yero (penyerang, Senegal).
Abu Bakar turut berharap agar kehadiran pertahanan import berkenaan kelak mampu mengimbangi tekanan yang seringkali dihadapi benteng pertahanan pasukan.
"Kita dapat lihat benteng pertahanan kita sering tertekan dengan asakan-asakan lawan. Jadi dengan kehadiran seorang lagi pemain import, kita harap masalah itu dapat diatasi,” katanya.