Pemegang PLS tamat tempoh perlu mohon Pas Khas

Iklan
Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA - Bermula Khamis, warga asing dengan Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh perlu memohon Pas Khas bagi membolehkan mereka berada di negara ini sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, permohonan Pas Khas itu perlu disertakan bersama surat pengesahan daripada kedutaan masing-masing, tiket penerbangan, bukti kemampuan kewangan bagi menampung kos hidup dan butiran tempat tinggal yang terkini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, warga asing perlu hadir ke pejabat imigresen bagi memohon Pas Khas ini mengikut janji temu yang telah dimohon melalui ‘Sistem Temujanji Online’ (STO).

"Warga asing dinasihatkan mengemukakan dokumen lengkap untuk membuat permohonan Pas Khas serta membuat janji temu melalui STO. Jabatan tidak akan memproses dan mempertimbangkan mana-mana permohonan yang tidak lengkap dan tidak mempunyai janji temu,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Pada 12 April lepas, Jabatan Imigresen memaklumkan warga asing dengan PLS tamat tempoh, perlu meninggalkan negara ini sebelum atau pada Rabu (21 April) dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Mengulas lanjut Khairul Dzaimee berkata, mereka yang tidak dapat memenuhi syarat-syarat untuk mendapatkan Pas Khas perlu menyerah diri dengan hadir ke Bahagian Penguatkuasa di mana-mana pejabat Imigresen.

Iklan

"Mereka perlu mengemukakan tiket pulang dalam tempoh 30 hari dari tarikh serah diri dan perlu membayar kompaun mengikut tempoh lebih masa yang dikira mulai 22 April (esok).

"Setelah itu, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan Pas Khas serta Memo Periksa Keluar (COM) kepada mereka dan mereka boleh tinggal di negara ini sementara menunggu penerbangan ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata, warga asing yang gagal mendapatkan sokongan kedutaan masing-masing juga mempunyai pilihan untuk terus keluar melalui pintu-pintu masuk negara ini, namun mereka akan disenarai hitam bermula esok.

Khairul Dzaimee berkata, tindakan meminta pemegang PLS tamat tempoh meninggalkan negara dibuat selepas terdapat kes penyalahgunaan pas oleh pelawat asing.

"Ada yang salah guna pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah di pusat hiburan dan menyertai kegiatan tidak bermoral,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Warga asing guna PLS perlu segera tinggalkan negara