SHAH ALAM - Majikan yang juga suspek utama kes pukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa minggu lepas akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang dan Kuala Lumpur esok (Khamis).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk membuat pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah salah seorang mangsa.
Beliau berkata, majikan itu juga akan dituduh bawah Seksyen 109/324 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengarahkan pembantunya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan dan di bawah Seksyen 323 Kanun yang sama kerana menampar serta menyerang perut salah seorang mangsa menggunakan lutut.
"Suspek utama itu juga akan tuduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan kedua-dua mangsa mengenai agama yang dianuti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ezanee berkata, seorang pembantu majikan itu juga akan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun yang sama kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan.
Ezanee berkata, seorang lagi pekerja majikan itu dicadangkan supaya dibebaskan tanpa syarat memandangkan dia tiada sebarang kaitan dengan kejadian, manakala dua lagi yang juga pekerja majikan itu dilepaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Dua 'bodyguard' dirotan, diacu pistol kerana berpuasa