PRESIDEN Liga Super Eropah (ESL), Andrea Agnelli mengesahkan saingan liga bola sepak baharu Eropah itu tidak akan berjalan berikutan tindakan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang juga antara pengasas bagi ESL menarik diri.
Menurut Agnelli, saingan ESL tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kelab ternama EPL seperti Manchester United, Liverpool, Arsenal, Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur.
"Kita tahu kesemua kelab ini menarik diri setelah menerima tekanan hebat daripada penyokong, pemain serta pemerhati dalam komuniti bola sepak.
"Oleh itu, tanpa kelab-kelab ternama ini, saya rasa ESL berkemungkinan akan dibubarkan biarpun ketika ini kelab pengasas seperti hanya AC Milan, Inter Milan, Juventus dari Serie A, Real Madrid, Barcelona and Atletico Madrid (La Liga) masih berada dalam senarai kelab yang bakal beraksi dalam ESL,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, arena bola sepak Eropah kecoh pengumuman beberapa kelab elit dari saingan liga utama Eropah bersetuju dengan pelaksanaan ESL.
Sementara itu, Agnelli berkata, tujuan ESL diperkenalkan adalah berikutan sistem bola sepak sedia ada dilihat tidak berfungsi.
Katanya, berdasarkan kandungan cadangan ESL, ia secara keseluruhannya bertujuan untuk terus membenarkan perkembangan dalam sukan bola sepak dengan turut menarik sumber-sumber dana yang kukuh.
"Perkara ini secara tidak langsung akan dapat membantu dari segi kewangan kelab-kelab bertanding yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
"Berdasarkan keadaan semasa, mungkin kita boleh mempertimbangkan langkah paling tepat untuk menstruktur semula projek ESL ini dengan memberikan yang terbaik kepada komuniti bola sepak seluruhnya,” katanya.