KES baharu positif Covid-19 yang mencatat angka lebih 2,000 sehari bukanlah pengumuman yang boleh dipandang sepi atau tidak serius.
Tatkala peningkatan positif kes Covid-19, keadaan ekonomi negara yang meruncing turut menjadi keutamaan.
Keresahan peniaga sudah tidak dapat dibendung lagi terutama pengusaha hotel dan restoran.
Namun, setiap kali kerajaan memberikan sedikit kelonggaran, sudah pasti akan berlaku peningkatan kes mendadak.
Penyebaran virus turut berlaku dengan cepat, malah kes domestik ketika ini semakin sukar dikawal terutama membabitkan kes-kes tidak bergejala.
Terbaharu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi majlis bufet berbuka puasa sepanjang Ramadan susulan pengumuman aktiviti seperti itu dibenarkan.
Bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jumlah individu yang hadir dihadkan kepada 50 peratus daripada kapasiti ruang dewan atau hotel dan 100 peratus mengikut ruang bagi restoran dan kedai makan dengan perlu mematuhi penjarakan fizikal.
Kehadiran tetamu atau pelanggan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula tertakluk kepada saiz keluasan ruang dan penjarakan fizikal.
Bagi tetamu hotel, perkara penting yang perlu dilakukan adalah membawa kelengkapan solat seperti sejadah sendiri untuk solat di surau atau di tempat majlis bufet Ramadan dianjurkan.
Diharap pihak hotel dapat menyediakan ruangan solat dan berwuduk yang sesuai agar tetamu tidak tertumpu atau bersesak-sesak di satu-satu tempat.
Selain kerja-kerja pembersihan, disinfeksi juga mesti dilakukan sebelum dan sesudah majlis berbuka diadakan.
Walaupun semua garis panduan telah disediakan, pemantauan kendiri adalah lebih penting. Kita tidak boleh bergantung hanya kepada pihak berkuasa untuk membuat pemantauan.
Tiada jalan pintas untuk menamatkan pandemik yang berbahaya ini. Hanya disiplin yang boleh menyelamatkan kita semua.