PADA sambutan Aidilfitri tahun lepas, ramai yang sayu kerana tidak boleh pulang berhari raya bersama keluarga di kampung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Aidilfitri tahun ini dijangka disambut pada 13 Mei depan. Ingatkan pada tahun ini, bolehlah balas dendam tapi nampaknya impian itu masih samar-samar.
Ramai yang sedih kerana hajat nak berkumpul beramai-ramai macam dulu mungkin tak kesampaian.
Peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara yang melonjak kepada 2,340 kes semalam dengan negara kini sedang berdepan gelombang keempat jangkitan Covid-19, kemungkinan tahun ini sekali lagi tidak boleh berhari raya di kampung.
Hati menjadi semakin sayu apabila mendengar lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad dan bertambah murung apabila mendengar lagu Dendang Perantau dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Selain dua lagu itu, pastikan juga tidak mendengar lagu Pulanglah nyanyian Aisyah, Musafir Di Aidilfitri nyanyian Allahyarham S. Jibeng, Kepulangan Yang Dinanti nyanyian Aman Shah dan beberapa lagu lagi yang hanya menambah kedukaan ketika menjelang raya.
Stesen-stesen radio juga diharap tidak menyiarkan lagu-lagu tersebut dengan berlebihan kerana dibimbangi akan menambahkan lagi kesedihan rakyat tidak dapat pulang berhari-raya di kampung. Kalau boleh, jangan putarkan langsung!
Kebimbangan peningkatan Covid-19 mendorong Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mencadangkan supaya perjalanan rentas negeri ditangguh pada sambutan terbesar umat Islam di Malaysia bulan depan.
"Kes harian kini terus meningkat dan belum stabil, maka rentas negeri perlu ditangguhkan,” kata beliau.
Ramai yang menyokong cadangan tersebut bukan sahaja untuk mengawal wabak daripada terus menular, malah dapat menjaga kesihatan dan kesejahteraan orang tua di kampung yang berisiko tinggi dijangkiti.
Minggu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan sama ada membenarkan atau tidak orang ramai melakukan rentas negeri ketika perayaan itu adalah atas nasihat Kementerian Kesihatan.
"Doakan kita boleh balik kampung raya Aidilfitri tahun ini,” kata Ahli Parlimen Bera itu.
Balik kampung adalah satu tradisi, malah ada yang menganggapnya sebagai cara hidup atau budaya dan sekurang-kurangnya setahun sekali terutama apabila tiba musim perayaan agama selain daripada musim cuti yang panjang.
Namun balik kampung menyumbang kepada kluster kes-kes baharu positif Covid-19 dan sebanyak 32 kluster dan rentas negeri direkodkan.
Kita kena sedar Covid-19 lebih mudah berjangkit dan berbahaya berbanding influenza lain, malah mampu membawa maut.
Satu contoh klasik adalah keadaan Covid-19 di Kelantan apabila kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri pada Disember lalu, rakyatnya yang tinggal di Lembah Klang ramai pulang ke kampung.
Akibatnya lebih 65 peratus daerah di negeri itu bertukar menjadi zon merah dan kes terus meningkat sehingga status PKP Pemulihan di negeri itu ditukar kepada PKP kerana kes ‘balik kampung’.
Di Sarawak, dulu sebuah negeri hijau dan terbaik di negara ini daripada segi kawalan namun akibat aktiviti balik kampung, sebuah rumah panjang menjadi kluster dan sekarang Sarawak banyak zon merah dan jingga.
Oleh itu jangan meletakkan harapan yang tinggi untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri pada tahun ini.
Kalau masih ingin balik kampung Aidifitri nanti, tunggu kes turun dan mendatar terlebih dahulu. Apabila kes mula menurun dan mendatar, bolehlah pemimpin dan pakar kesihatan mencadangkan aktiviti balik kampung dan rentas negeri dilakukan.
Apabila semua rakyat Malaysia lengkap menerima dua dos vaksin kelak, kita harap pada tahun hadapan sudah boleh berhari raya di kampung seperti sebelum ini.
Sehingga itu, jangan letakkan harapan yang terlalu tinggi.
*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Editorial Sinar Harian